fb fb fb fb fb

Perjanjian TikTok, Trump dakwa China undur diri kerana tarif

Foto AFP

WASHINGTON, 7 April- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa China menarik diri daripada perjanjian penjualan TikTok susulan tindakan Washington mengenakan tarif baharu ke atas semua import dari negara itu minggu lalu.

Trump pada Jumaat lalu melanjutkan tempoh akhir bagi syarikat pemilik TikTok, ByteDance, untuk mencari pembeli bukan dari China selama 75 hari lagi, sebelum aplikasi popular itu diharamkan di AS.

Lanjutan itu diumumkan hanya sehari selepas AS mengenakan tarif tambahan sebanyak 34 peratus ke atas semua barangan import dari China.

"Kita sebenarnya hampir selesai dengan satu perjanjian mengenai TikTok, bukan perjanjian penuh, tetapi hampir siap. Kemudian China mengubah pendirian mereka kerana tarif.

Kalau saya longgarkan sedikit tarif itu, mereka akan luluskan perjanjian itu dalam masa 15 minit, ini menunjukkan betapa berkesannya kuasa tarif," kata Trump kepada wartawan dalam penerbangan Air Force One, Ahad.

TikTok yang memiliki lebih 170 juta pengguna di Amerika Syarikat, berdepan ancaman undang-undang negara itu yang diluluskan tahun lalu.

AS mengarahkan aplikasi berkenaan untuk memutuskan hubungan dengan pemilik asalnya, ByteDance yang berpangkalan di China atau berisiko diharamkan.

ByteDance dalam kenyataan mengesahkan sedang berunding dengan kerajaan AS bagi mencari penyelesaian, namun menegaskan masih terdapat beberapa isu penting yang belum diselesaikan.

“Tiada sebarang perjanjian dimuktamadkan setakat ini,” kata syarikat itu sambil menambah bahawa apa-apa keputusan juga tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa China.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM