fb fb fb fb fb

Sembilan mangsa terselamat ditarik dari runtuhan Turkiye, jumlah korban melepasi 40,000

(Pasukan mencari dan menyelamat mencari mangsa gempa dalam
runtuhan bangunan yang di Kahramanmaras, Turkiye /AFP)

ANTAKYA, 15 Februari-Sembilan orang lagi mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan diselamatkan semalam, lebih seminggu selepas gempa bumi dahsyat melanda Turkiye.

Mereka yang diselamatkan termasuk dua lelaki yang juga adik beradik berusia 17 dan 21 tahun.

Kedua-dua mangsa ditarik keluar dari sebuah blok apartmen di wilayah Kahramanmaras.

Selain itu turut ditemukan dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita Syria di Antakya.

Mereka diselamatkan selepas 200 jam berada di bawah runtuhan.

Menurut seorang penyelamat, berkemungkinan masih ada individu yang masih hidup dan berada di bawah sisa runtuhan.

Ketika ini, tumpuan beralih kepada usaha membantu rakyat yang bergelut untuk terus hidup selepas hilang tempat tinggal, selain menyumbang makanan dalam keadaan cuaca sejuk melampau.

Setakat ini, angka kematian susulan bencana yang melanda Turkiye dan negara jirannya, Syria kini melepasi 41,000 orang dan telah memusnahkan bandar di kedua-dua negara berkenaan.


(FOTO FAIL/ REUTERS)

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengakui masalah dalam tindak balas awal terhadap gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda negara itu pada 6 Februari lalu, namun katanya, keadaan kini terkawal.

"Kita sedang menghadapi salah satu bencana alam yang paling dahsyat bukan sahaja di negara ini tetapi dalam sejarah manusia," katanya dalam ucapan yang disiarkan di rangkaian televisyen di Ankara.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan fasa menyelamat akan ditamatkan dalam tempoh terdekat dengan tumpuan beralih kepada memberi perlindungan tempat tinggal, makanan dan persekolahan mangsa yang terjejas.

"Kesemua mangsa sedang menderita. Kami turut memohon bantuan seperti khemah atau barangan lain, namun sehingga kini, kami tidak menerima apa-apa sumbangan," kata seorang pelarian, Hassan Saimoua.

Beliau dan keluarganya tinggal di taman permainan di bandar Gaziantep, dekat tenggara Turkiye.

Saimoua dan rakyat Syria lain sebelum ini mendapat perlindungan di Gaziantep selepas peperangan berlarutan di negara itu.

Namun, mereka kini hilang tempat tinggal akibat gempa berkenaan.

Mereka terpaksa menggunakan kepingan plastik, selimut dan kadbod untuk mendirikan khemah sementara di taman permainan berkenaan. -REUTERS

Media Baharu