fb fb fb fb fb

Ibu anak tujuh lahirkan bayi kembar lima di Poland

(FOTO HIASAN/ AFP)

WARSAW, POLAND, 15 Februari- Pasangan suami isteri Poland-British yang mempunyai tujuh orang anak menyambut kelahiran lima bayi kembar serentak, ketika sambutan Hari Valentine.

Wanita berkenaan, Dominika Clarke, berkata proses kelahiran berlaku 'lebih baik daripada jangkaannya' selepas melalui fasa kehamilan yang jarang berlaku.

Ibu kepada tujuh orang anak berumur 10 bulan hingga 12 tahun itu melahirkan bayi kembar lima di sebuah hospital di bandar Krakow, dekat selatan Poland Ahad lalu.

"Kami merancang untuk ada anak kelapan tetapi ternyata dapat lebih daripada itu," katanya kepada pemberita di hospital bersama suaminya yang juga warga Britain, Vince.

Bayi kembar lima itu dilahirkan melalui kaedah pembedahan ketika usia kehamilan mencecah 29 minggu dan ketika ini, kelima-lima bayi itu masih memerlukan bantuan pernafasan.

Tiga daripada bayi berkenaan adalah perempuan dan dua lagi lelaki.

Mereka dinamakan Arianna Daisy, Charles Patrick, Elizabeth May, Evangeline Rose dan Henry James.

Clarke menggelar kehamilannya sebagai satu keajaiban kerana hospital memberitahu kebarangkalian untuk hamil kembar lima adalah satu daripada 52 juta. - AFP


(FOTO HIASAN/ AFP)

Media Baharu