fb fb fb fb fb

Seluruh dunia berarak menentang pengeboman Israel ke atas Gaza

FOTO REUTERS

DOHA, 29 Oktober - Ratusan ribu penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar di seluruh Eropah, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Asia pada Sabtu menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin atas kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam salah satu perarakan terbesar, orang ramai berarak melalui ibu kota Britain, London untuk menuntut kerajaan Perdana Menteri Rishi Sunak menggesa gencatan senjata.

Perarakan Sabtu di London aman, bagaimanapun polis memaklumkan telah membuat sembilan tangkapan iatu dua kerana menyerang pegawai dan tujuh kerana kesalahan ketenteraman awam, sebahagian daripadanya dianggap sebagai jenayah kebencian.

Polis menganggarkan kehadiran antara 50,000 dan 70,000 orang.

Menyuarakan pendirian Washington, kerajaan Sunak telah berhenti meminta gencatan senjata, dan sebaliknya menganjurkan jeda kemanusiaan untuk membolehkan bantuan sampai kepada orang ramai di Gaza.

Angka kematian di Gaza kini melepasi 7,700, kebanyakannya orang awam sejak pengeboman Israel bermula tiga minggu lalu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Di Malaysia, sekumpulan besar penunjuk perasaan melaungkan slogan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Dianggarkan 100,000 orang berhimpun di Kerala di selatan India sebagai solidariti terhadap Palestin.

Berucap kepada ratusan ribu penyokong pada perhimpunan besar di Istanbul, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata Israel adalah penjajah dan mengulangi pendiriannya mengenai Hamas bukan organisasi "pengganas".

Protes turut diadakan di ibu negara Iraq, Baghdad.

Penunjuk perasaan Palestin di Hebron di Tebing Barat menggesa pemulauan global produk Israel. “Jangan menyumbang kepada pembunuhan anak-anak Palestin,” laung mereka.

Di tempat lain di Eropah, orang ramai turun ke jalan-jalan di Copenhagen, Rom dan Stockholm.

Beberapa bandar di Perancis telah mengharamkan perhimpunan sejak perang bermula, bimbang ia boleh mencetuskan ketegangan sosial, namun di sebalik larangan di Paris, perhimpunan kecil berlaku pada Sabtu. Beberapa ratus orang turut berarak di bandar selatan Marseille.

Di ibu negara New Zealand, Wellington beribu-ribu orang yang memegang bendera Palestin dan sepanduk bertulis "Bebaskan Palestin" berarak ke Bangunan Parlimen. - AL JAZEERA

TETITIA YUSOFF