fb fb fb fb fb

Peru dilanda bencana banjir berterusan

(Keadaan bandar Piura di Peru yang dilanda banjir/Reuters)

PIURA, 8 April- Jalan di bandar wilayah sini, dekat utara Peru berubah menjadi 'sungai' selepas hujan lebat selama dua hari melanda kawasan itu hingga memaksa penduduk menggunakan pelambung untuk melaluinya.

"Tiada pihak berkuasa datang ke sini, tiada siapa yang datang, malah datuk bandar pun tiada," kata seorang penduduk.

Wilayah utara Peru terus bergelut dengan bencana banjir akibat Taufan Yaku pada Mac dan fenomena El Nino Costero pada April.

Terbaharu, wilayah itu dilanda hujan lebat pada 3 dan 4 April lalu, menyebabkan banyak jalan dinaiki air dan kejadian rumah runtuh.

Banjir bertambah teruk kerana kekurangan saliran, selain benteng dan terusan di kawasan berisiko kerana berdekatan dengan gaung El Gallo.

Institut Pertahanan Awam Negara (INDECI) melaporkan, 60 orang telah meninggal dunia sejak permulaan musim hujan, manakala 65,670 orang di wilayah itu terjejas dengan ribuan rumah musnah, bekalan elektrik dan air minuman juga terganggu.

Pada masa sama, Perkhidmatan Hidrologi dan Meteorologi Kebangsaan Peru (SENAMHI) melaporkan hujan akan berterusan sepanjang hujung minggu dan permulaan minggu akan datang.

Wilayah Tumbes, Piura, dan Lambayeque diletak dalam keadaan berjaga-jaga tinggi kerana hujan dijangka berterusan sehingga pertengahan April. -Reuters

 (Mangsa banjir di Piura, Peru/Reuters)

Media Baharu