fb fb fb fb fb

Selamatkan anak kucing, pencinta haiwan cetuskan kemalangan

Dua pencinta haiwan yang berhenti di lebuh raya Amerika Syarikat (AS) arah timur di CA-91 untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terdampar menyebabkan kemalangan tiga kenderaan / Foto Hiasan

LOS ANGELES, 7 September - Dua pencinta haiwan yang berhenti di lebuh raya Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terdampar menyebabkan kemalangan tiga kenderaan.

Pasangan itu melihat kucing jalanan ketika mereka memandu ke arah timur di CA-91 berhampiran Los Angeles pada Rabu, kata Pegawai California Highway Patrol, Javier Navarro.

Pemandu wanita keluar di hentian berikutnya dan kembali untuk mencari kucing itu, memperlahankan kelajuan kepada 35 batu sejam (56 kilometer sejam) di lorong paling dalam.

Apabila mereka menemui haiwan tersebut, penumpang lelaki melompat keluar dan mengambil anak kucing itu, sementara pemandu menghalang lalu lintas, menyebabkan barisan kereta terbentuk.

"Kereta lain datang dari belakang dan mengelak ke kiri untuk menghindari kemalangan, melanggar belakang kiri kereta terakhir," menyebabkan kereta tersebut meluncur ke arah lelaki yang memegang kucing, kata Navarro.

"Pemandu kereta itu mengelak ke kanan untuk menghindari pejalan kaki dan akhirnya merentasi semua lorong dan melanggar sebuah lori besar."

Sementara itu, lelaki yang memegang kucing melompat ke pembahagi tengah untuk keluar dari laluan kereta sehingga anak kucing itu terlepas.

Ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan dalam kejadian itu, namun tiada yang cedera.

Dan kucing itu?

"Dia tidak terkena, dia tidak cedera. Dia berjaya melintas sendiri," kata Navarro.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN