fb fb fb fb fb

Enam orang mati, sembilan cedera gempa di Afghanistan

(Penduduk Afghanistan menggali kubur untuk mangsa gempa bumi pada Jun lalu
menyebabkan sekurang-kurangna 1,000 penduduk terkorban/AFP)

KABUL, 5 September- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan sembilan orang lagi cedera selepas gempa bumi melanda timur Afghanistan.

Seorang pegawai pada Isnin melaporkan gempa 5.3 magnitud itu berlaku pada tengah malam.  

Gegaran yang dirasai di daerah sepanjang sempadan bahagian timur dengan Pakistan itu berlaku kurang tiga bulan selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 1,000 orang, juga di sepanjang sempadan sama.

Gegaran terbaharu itu turut dirasai di wilayah Kunar, Laghman dan Nangarhar serta di ibu negara Kabul.

“Kami sedang mengumpul maklumat berhubung kematian dan kerosakan dari kawasan lain,” kata timbalan menteri pengurusan bencana, Sharafuddin Muslim kepada AFP.

Afghanistan sememangnya kerap dilanda gempa, terutama di kawasan banjaran Hindu Kush yang terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India. 

Pada 22 Jun lalu, gempa 5.9 magnitud paling dahsyat melanda Afghanistan dalam tempoh lebih dua dekad mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan ribuan lagi penduduk.

Pada 2015, kira-kira 380 orang terbunuh di Afghanistan dan Pakistan apabila gempa 7.5 magnitud melanda ke dua-dua negara itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Afghanistan turut dilanda banjir kilat yang telah membunuh kira-kira 200 orang dan memusnahkan beribu-ribu kediaman. 

Bencana tersebut memberi cabaran besar kepada pentadbiran kerajaan Taliban yang kurang diberi perhatian negara luar atas faktor perbezaan politik dan fahaman, khususnya dari negara barat. -AFP


(Penduduk melalui runtuhan rumah selepas gempa bumi di wilayah Badghis, barat Afghanistan
pada Januari 2022; membunuh sekurang-kurangnya 22 orang/AFP)

Media Baharu