WASHINGTON, 9 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bakal mengenakan tarif 10 peratus kepada anggota negara BRICS dalam masa terdekat.
“BRICS melemahkan dolar Amerika Syarikat, untuk menggantikan dolar daripada menjadi mata wang standard dunia. Kalau mereka nak main cara itu, saya pun boleh. Jadi sesiapa dalam BRICS akan dikenakan caj 10 peratus," katanya semasa mesyuarat bersmaa pegawai kabinet di White House pada Selasa.
Anggota BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Pada 2024 negara baharu seperti Iran, Mesir, Ethiopia, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, menyertai BRICS sekali gus menjadikan pengaruh blok ini lebih besar terutamanya dalam sektor minyak, perdagangan global dan sistem kewangan antarabangsa.
Sebelum ini, BRICS secara terbuka menyuarakan hasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa.
Ini termasuk mencadangkan untuk menggunakan mata wang alternatif atau sistem pembayaran sendiri.
Trump menyifatkan BRICS sebagai satu pakatan yang ditubuhkan untuk melemahkan kedudukan dolar Amerika sebagai mata wang rizab global - REUTERS