fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 12 terbunuh dalam gempa bumi Afghanistan-Pakistan

KABUL, 22 Mac- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di Afghanistan dan Pakistan akibat gempa bumi kuat dirasai merentasi ribuan kilometer.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat berkata gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu berpusat berhampiran Jurm di timur laut Afghanistan, dengan kedalaman 187 kilometer mengurangkan kerosakan yang besar.

Gempa yang melanda sekitar 9.30 malam waktu Kabul pada Selasa berlarutan lebih 30 saat, dirasai dari Asia tengah ke New Delhi di India lebih 2,000 km jauhnya.

“Ia adalah gempa bumi yang kuat dan kami bimbang kerosakan maksimum disebabkan gegaran itu, sebab itu kami mengeluarkan amaran,” Bilal Faizi, jurucakap perkhidmatan kecemasan menyelamat Pakistan di Khyber Pakhtunkhwa, memberitahu AFP.

"Tetapi kami bernasib baik, walaupun mengalami gempa yang kuat namun kerosakan adalah minimum."

Wilayah ini sering dilanda gempa terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush, yang terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India.

Menurut seorang penduduk di sebuah kampung di daerah Jurm, berhampiran pusat gempa, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

(Penduduk hotel berada di luar bangunana selepas berlaku gegaran/AFP)

"Kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk di kampung kami dan kami semua bermalam di luar di bawah langit," kata Inamullah yang dihubungi melalui telefon.

"Kami semua takut dan berjaga sepanjang malam."

Penduduk bandar dan pekan di Afghanistan dan Pakistan yang panik juga meninggalkan rumah mereka untuk mencari keselamatan jauh dari bangunan dengan ramai yang terlalu takut untuk kembali ke kediaman masing-masing.

“Kami bermalam di halaman rumah, di luar sejuk, tetapi kami lebih suka tinggal di luar daripada balik,” kata pelajar berusia 24 tahun, Neda Raihan kepada AFP di Kabul.

Khudadad Heights, sebuah blok kediaman bertingkat yang luas di ibu negara Pakistan, telah dipindahkan selepas retakan besar muncul di bangunan itu.

Lebih 55,000 orang terbunuh akibat gempa bumi yang melanda tenggara Turki dan beberapa bahagian Syria bulan lalu, meningkatkan kebimbangan di seluruh rantau itu.

"Kanak-kanak mula menjerit, kami panik. Kengerian gempa bumi di Turki dan negara jiran memberi kesan kuat pada kami," kata Ikhlaq Kazmi, seorang profesor bersara di bandar Rawalpindi, Pakistan.

Pegawai di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, utara ibu negara Pakistan, berkata sembilan orang terbunuh dalam gempa itu, termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak.- AFP

Media Baharu