SEOUL, 7 Januari- Sebuah sekolah menengah yang khusus dalam mendidik pelajar mengenai K-pop dan persembahan berkaitan akan dibuka di Busan, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa pendidikan tempatan pada Ahad.
Pejabat Pendidikan Bandaraya Metropolitan Busan berkata sebuah sekolah menengah yang bakal ditutup tidak lama lagi akan diubah suai menjadi sekolah menengah awam khusus dan dijadual dibuka pada Mac 2028.
Sekolah yang terletak di Busan, kira-kira 320 kilometer tenggara Seoul itu akan menjadi sekolah awam pertama dengan pengkhususan K-pop.
Pelajar di seluruh negara serta penuntut antarabangsa layak mendaftar di sekolah terbabit dan sekolah itu bakal menyediakan pelajaran mengenai vokal, tarian dan instrumen serta kesenian lain.
Pembinaan sekolah itu bertujuan menyediakan pembelajaran khusus untuk pelajar sejajar dengan industri K-pop yang semakin berkembang, menurut pejabat itu.
Di Korea Selatan, agensi hiburan utama mengendalikan sistem latihan idola K-pop yang terkenal dengan kem latihan dan proses sistematik yang ketat untuk debut artis baharu.- BERNAMA-YONHAP