fb fb fb fb fb

FAA arah operasi pesawat Boeing 737 MAX 9 dihentikan sehingga selesai pemeriksaan

Foto Reuters

WASHINGTON, 7 Januari - Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan untuk menghentikan sementara sebahagian operasi pesawat Boeing 737 MAX 9 pada Sabtu sehingga pemeriksaan dilakukan.

Ini selepas penerbangan Alaska Airlines pada Jumaat melakukan pendaratan cemas berikutan letupan panel kabin.

Arahan tersebut melibatkan 171 kapal terbang, namun timbul persoalan tentang bagaimana pemeriksaan dilakukan sebelum penerbangan seterusnya dilakukan.

FAA berkata potensi kehilangan palam pintu pertengahan kabin dalam penerbangan "boleh mengakibatkan kecederaan kepada penumpang dan anak kapal serta menjejaskan kapal terbang atau kehilangan kawalan pesawat."

Kegagalan struktur pesawat kendalian Alaska Airline pada Jumaat menyebabkan lubang segi empat tepat di kawasan fiuslaj yang dikhaskan untuk pintu tambahan pilihan, namun dinyahaktifkan pada pesawat Alaska dan dipasang dengan "plag" pengganti pintu khas.

FAA mesti meluluskan apa-apa keperluan pemeriksaan yang dicadangkan oleh Boeing.

Pemeriksaan yang diperlukan akan mengambil masa sekitar empat hingga lapan jam setiap pesawat, kata FAA.

Alaska Airlines berkata selepas ia secara sukarela memberhentikan operasi 65 737 MAX 9 pesawatnya pada awal Sabtu, “diputuskan bahawa 18 pesawat telah melakukan pemeriksaan menyeluruh pintu palam dan 18 pesawat ini telah dibenarkan untuk kembali beroperasi hari ini."

Penggubal undang-undang menggesa tindakan segera jika terdapat sebarang isu yang ditemui. "Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan FAA mesti menyiasat insiden ini dengan teliti untuk menangani pelanggaran keselamatan yang membimbangkan," kata Senator Ted Cruz, ahli Republikan tertinggi dalam jawatankuasa yang mengawasi FAA.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN