Mrauk U, 15 Ogos - Penduduk di barat Myanmar terpaksa mencari pucuk buluh untuk dimakan susulan sekatan perang dan pemotongan bantuan yang menyebabkan kes kebuluran meningkat mendadak.
Program Makanan Sedunia (WFP) dalam satu kenyataan memaklumkan, 57 peratus keluarga di Rakhine kini gagal memenuhi keperluan makanan asas, berbanding 33 peratus pada Disember lalu.
“Gabungan konflik, sekatan, dan pengurangan dana bantuan mendorong peningkatan dramatik kelaparan serta kekurangan zat makanan,” menurut agensi itu, sambil memberi amaran keadaan di kawasan konflik seperti Mrauk U jauh lebih teruk.
Rakhine, negeri pantai yang bersempadan dengan Bangladesh, mempunyai populasi dianggarkan 2.5 juta orang dan kini berada di bawah sekatan ketat tentera dalam pertempuran dengan kumpulan etnik bersenjata.
Seorang peniaga buah di Mrauk U, Kyaw Win Shein, berkata keadaan semakin teruk setiap hari, dengan harga barangan keperluan meningkat dan pendapatan merosot.
“Setiap hari saya perlu berjuang untuk kelangsungan hidup. Semua orang menghadapi masalah yang sama,” katanya.
Penduduk di Ponnagyun pula berkata, bantuan hanya sampai ke kampung mereka dua kali dalam tempoh setahun. “Orang ramai mencari pucuk buluh untuk dimakan, tetapi ia tidak berkhasiat,” katanya yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.
Bekalan baja yang terhad turut menjejaskan hasil tanaman, manakala harga barangan segar di pasaran menjadi terlalu mahal untuk dibeli.
Menurut WFP, lebih 400,000 penduduk masih hilang tempat tinggal di Rakhine, sementara lebih sejuta pelarian Rohingya berada di kem sempadan Bangladesh.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan 150,000 pelarian baharu tiba dalam tempoh 18 bulan lalu.-AFP