THE HAGUE, 15 Julai- Sepuluh tahun selepas penerbangan Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Ukraine, keluarga mangsa akan berkumpul pada Rabu sebagai tanda memperingati tragedi itu.
Namun harapan semakin pudar untuk menangkap individu yang bertanggungjawab menembak pesawat Boeing 777 milik Malaysia.
Beratus-ratus saudara mara serta wakil kerajaan dan orang kenamaan dijangka menghadiri upacara itu di taman peringatan berhampiran lapangan terbang Schiphol iaitu lokasi kapal terbang itu berlepas pada 17 Julai 2014.
Beberapa jam selepas berlepas, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia di timur Ukraine, ketika ia dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur. Kesemua 298 penumpang di dalam kapal itu meninggal dunia.
Daripada kesemua penumpang, 196 daripadanya merupakan warga Belanda, manakala 43 lagi rakyat Malaysia dan 38 warga Australia turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.
Upacara peringatan juga dirancang di tempat lain, termasuk di Australia.
"Ini kekal sebagai hari yang sukar untuk kita semua," kata Evert van Zijtveld, yang kehilangan anak perempuannya Frederique, 19; anak lelakinya Robert-Jan, 18, serta ibu bapa mentuanya.
"Sekali lagi kami berkumpul untuk memperingati orang yang kami sayangi. Ia amat menyedihkan," kata van Zijtveld kepada AFP.- AFP