fb fb fb fb fb

3 maut selepas cuba lolos dari penjara

Gambar dirakam pada 9 September 2023 menunjukkan pegawai polis berjaga-jaga di Niamey/Foto fail AFP

NIAMEY, 15 Julai - Sekurang-kurangnya tiga tahanan terbunuh selepas meloloskan diri dari penjara keselamatan berhampiran ibu negara Niamey.

Ketika kejadian, puluhan tahanan melarikan diri di Penjara Koutoukale yang menempatkan ramai pemberontak yang menyasarkan negara Afrika Barat selama bertahun-tahun.

Pihak tentera berkata, pemberontakan berlaku di kawasan penjara dengan puluhan banduan mengambil kesempatan untuk melarikan diri.

Pengganas bersenjata terbunuh dan usaha pencarian giat dijalankan untuk mencari saki baki pelarian di kawasan berpenduduk sekitar Sungai Niger.

Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan perintah berkurung tanpa menyatakan bilangan sebenar pelarian yang meloloskan diri.

Penjara Koutoukale terletak di wilayah Tillaberi, kawasan sempadan Niger, Mali dan Burkina Faso yang luas dan tidak stabil serta terdedah kepada serangan oleh pemberontak yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam dan Al-Qaeda.

Niger diperintah oleh junta tentera yang merampas kuasa Julai, tahun lalu.

Tentera berkata enam askar terbunuh dalam serangan jihad Rabu lalu, di wilayah jiran Tahoua.

Pihaknya berkata ’22 pengganas’ terbunuh dalam operasi berikutnya di Tillaberi antara Khamis hingga Sabtu lalu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN