fb fb fb fb fb

Mayat ditemukan dalam beg pakaian - Polis UK

Jambatan Gantung Clifton di Bristol, Britain/ REUTERS

LONDON, 15 Julai- Polis Britain mendakwa seorang lelaki dengan dua pertuduhan membunuh selepas mayat manusia ditemukan dalam beg pakaian di Jambatan Gantung Clifton Bristol.

Yostin Andres Mosquera, 34, didakwa membunuh dua lelaki, yang dikenal pasti oleh polis sebagai Albert Alfonso, 62 tahun dan Paul Longworth, 71 tahun.

Kedua-dua mangsa tinggal di sebuah flat di Shepherd's Bush, kata Polis Metropolitan bandar itu.

Sisa jenazah lelaki itu turut ditemukan di flat London barat.

"Saya tahu bahawa kejadian mengerikan ini akan menimbulkan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan penduduk di Shepherds Bush malah lebih luas di seluruh London," kata Timbalan Penolong Pesuruhjaya Andy Valentine dalam satu kenyataan.

"Saya memberi jaminan bahawa siasatan masih dijalankan dan masih di peringkat awal. Ketika ini kami tidak mencari orang lain berkaitan dua pembunuhan itu," katanya.

Polis juga berkata bukti yang dikumpul setakat ini dikategorikan sebagai jenayah kebencian namun klasifikasi kejadian itu akan dikaji semula dengan mendapatkan lebih banyak bukti.

Polis di Bristol, barat daya England, menerima laporan pada Rabu mengenai seorang lelaki dilihat dengan beg pakaian bertindak mencurigakan di jambatan Clifton. Beg pakaian kedua kemudian ditemui berhampiran.

Menurut polis, Mosquera dalam perjalanan dari London dengan beg pakaian itu, telah ditangkap pada Sabtu di Bristol.

Mosquera akan hadir di Mahkamah Majistret Wimbledon di London pada Isnin nanti.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI