fb fb fb fb fb

Sembilan terbunuh serangan bom kereta ketika tonton final Euro 2024

Sebuah kereta meletup berpunca daripada bom di luar Restoran Top Coffee yang diletakkan oleh kumpulan pengganas Khawari/Foto AFP

MOGADISHU – Jumlah kematian akibat letupan serangan bom kereta di sebuah kafe ibu negara Somalia meningkat kepada sembilan orang.

Kejadian berlaku ketika ramai golongan anak muda memenuhi ruangan cafe tersebut yang sedang menonton perlawanan akhir Euro 2024.

"Sembilan orang awam terbunuh dan 20 yang lain cedera dalam letupan itu," kata Mohamed Yusuf, seorang pegawai dari agensi keselamatan negara.

Media kerajaan, SONNA yang memetik jurucakap polis, Mejar Abdifitah Aden Hassan memberitahu laporan awal mengesahkan lima orang maut, manakala 20 lagi cedera.

"Terdapat ramai orang di dalam restoran, kebanyakan mereka remaja yang menonton perlawanan bola sepak... tetapi syukur kepada Allah, kebanyakan mereka keluar dengan selamat selepas menggunakan tangga untuk memanjat dan melompat ke arah dinding perimeter bahagian belakang," katanya.

Agensi Berita Nasional Somalia melaporkan sebuah kereta meletup berpunca daripada bom di luar Restoran Top Coffee yang diletakkan oleh kumpulan pengganas Khawarij.

Pengganas Khawarij merupakan istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk menggambarkan kumpulan jihad Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Pasukan bomba, polis dan ambulans telah bergegas ke tempat kejadian letupan.

Polis turut mengepung kawasan itu, yang berhampiran dengan pekarangan istana presiden yang dikenali sebagai Villa Somalia.

Al-Shabaab melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Somalia selama lebih 17 tahun dan melakukan banyak pengeboman di Mogadishu dan bahagian lain di negara itu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN