fb fb fb fb fb

Sebulan konflik Rusia-Ukraine belum ada jalan perdamaian jelas

(Gambar satelit menunjukkan bangunan pangsapuri di Mariupol terbakar pada 19 Mac 2022/AFP)

KIEV, 23 Mac- Hampir sebulan operasi tentera Rusia di Ukraine, menyaksikan banyak kemusnahan di sekitar bandar utama Ukraine dan terbaru bom berkuasa tinggi telah menggegarkan Mariupol.

Dilaporkan dua ledakan kuat di Mariupol berlaku ketika pihak berkuasa Ukraine melakukan cubaan baharu untuk membawa keluar orang awam dari selatan bandar pelabuhan yang dikepung tentera Rusia.

Lebih 200,000 orang dilaporkan terperangkap di bandar tersebut yang digambarkan mereka yang berjaya melarikan diri sebagai bandar mati yang dipenuhi mayat dan bangunan runtuh, menurut badan pemantau hak asasi manusia.

-TIDAK AKAN MENYERAH KALAH-

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko dalam ucapannya kepada Majlis Kesatuan Eropah berkata sekiranya situasi paling buruk berlaku, “kita tidak akan menyerah kalah meskipun akan mati”.

Terdahulu, seorang anggota tentera Ukraine terbunuh dalam serangan dron di institut saintifik di barat Kiev, menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Kiev diletakkan bawah perintah berkurung sehingga pagi Rabu.

-PILIHAN SENJATA NUKLEAR-

Rusia akan hanya menggunakan senjata nuklear dalam konflik di Ukraine jika berdepan “ancaman yang benar-benar wujud”, jelas jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Kenyataan Peskov itu dibuat ketika ditemu bual pengacara CNN, Christiane Amanpour yang medesak Peskov sama ada dia amat yakin bahawa Presiden Vladimir Putin tidak akan menggunakan senjata nuklear di Ukraine.

-RUSIA MAHU RUNDINGAN PERKARA PENTING-

Menurut Rusia rundingan damai bersama Ukaine perlu lebih tertumpu kepada isu-isu penting atau prinsip asas selepas beberapa rundingan yang gagal dimuktamadkan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut memperbaharui tawaran untuk mengadakan rundingan secara terus dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Presiden Vladimir Putin.

Zelensky juga menyatakan, dia bersedia membawa ke meja rundingan mengenai status Crimea dan dua wilayah dipertikai yang disokong Moscow, di Ukraine.

-12 TERBUNUH DI TIMUR UKRAINE-

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan di sekitar timur Ukraine termasuk lima orang di Avdiivka dalam wilayah Donetsk pada Isnin, menurut ombudsman Lyudmyla Denisova.

-SEKATAN BAHARU OLEH BARAT-

Barat akan mengumumkan sekatan baharu selain memperketatkan sekatan sedia ada pada Khamis ini apabila Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bertemu rakan sekutu Eropah di Brussels, menurut Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat, Jake Sullivan.

Tambah Sullivan, sejak kebelakangan ini, Washington belum melihat bukti sebarang penghantaran senjata oleh China kepada sekutunya Rusia.


(Solidariti selamatkan Mariupol ketika bantahan pencerobohan Rusia
di Ukraine pada 22 Mac 2022 di Prague/AFP)

-SERANGAN TENTERA UKRAINE -

Menurut Pentagon, sejak beberapa hari kebelakangan ini tentera Ukraine berjaya mematahkan momentum operasi pencerobohan tentera Rusia di beberapa kawasan dalam usaha merampas kembali kawasan yang dikepung.

“Pihak (tentera) Ukraine berada di lokasi dan ada masa melakukan serangan, terutama di selatan negara,” kata jurucakap Jabatan Pertahanan AS, John Kirby kepada CNN.

-UNDANG-UNDANG BERITA PALSU-

Alexander Nevzorov wartawan dan penganalisis politik terkemuka pertama disiasat kerana menyebarkan maklumat atau berita "palsu" mengenai Rusia di bawah undang-undang baharu yang diperkenalkan selepas pencerobohan.

-AMARAN SENJATA BIOLOGI-

Biden memberi amaran bahawa Rusia perlu menanggung “ganti rugi besar” sekiranya menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine.

Katanya, dakwaan Moscow bahawa AS membantu Ukraine membangunkan senjata biologi adalah "tanda jelas" Putin sebenarnya sedang mempertimbang perang biologi atau kimia.

-KEMATIAN RUSIA-

Akhbar tabloid bersekutu Kremlin, Komsomolskaya Pravda melaporkan 9,861 tentera Rusia terbunuh dan 16,153 orang cedera dalam perang hampir sebulan, 20 kali lebih banyak berbanding jumlah rasmi.

Selepas disiarkan di laman sesawang, kenyataan itu kemudian segera dikeluarkan.

-LEBIH 3.5 JUTA PENDUDUK MELARIKAN DIRI-

Susulan pencerobohan Rusia, dilaporkan lebih 3.5 juta penduduk Ukraine meninggalkan negara, menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih 10 juta penduduk pula hilang tempat tinggal. -AFP

Media Baharu