fb fb fb fb fb

Punca nahas udara di China belum diketahui, kotak hitam masih dicari

(Kaunter daftar masuk China Eastern Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao
pada 21 Mac 2022/AFP)

WUZHOU, 23 Mac- Punca pesawat China Eastern Arilines yang membawa 132 penumpang dan anak kapal yang terjunam dari ketinggian asal penerbangan dan jatuh di satu kawasan pergunungan di selatan China, masih belum diketahui.

Menurut pasukan penyiasat, mereka masih melakukan pencarian di lereng bukit berhutan untuk mencari perakam penerbangan dari pesawat Boeing yang dilaporkan musnah sepenuhnya itu.

Setakat lebih 36 jam operasi pencarian dilakukan, belum ada mangsa ditemukan selamat – tragedi udara terburuk dalam tempoh tiga dekad di China, negara yang merekodkan sejarah keselamatan dicemburui banyak negara di dunia.

 “Berdasarkan maklumat semasa, kami masih belum dapat mengeluarkan kenyataan jelas mengenai punca kemalangan itu," kata Zhu Tao, pengarah pejabat keselamatan pihak berkuasa penerbangan China kepada pemberita lewat semalam.

Jelasnya, fokus operasi pencarian ketika ini adalah untuk mencari perakam data penerbangan (kotak hitam) pesawat.

Persoalan mengenai punca nahas kian memuncak, apabila ada kenyataan menyebut pesawat jatuh ke paras 20,000 kaki dari ketinggian asal penerbangan hanya dalam tempoh beberapa minit.

Pesawat itu kemudian terus terjunam dan jatuh di satu kawasan lereng bukit di selatan China pada petang Isnin lalu.

Situasi itu menyebabkan serpihan pesawat dan barangan milik penumpang bertaburan di kawasan hutan, lokasi nahas berlaku.

Syarikat penerbangan China Eastern secara rasmi telah mengeluarkan kenyataan mengenai tragedi itu yang mengorbankan banyak nyawa, namun menarik semula kenyataan bahawa semua yang berada dalam kapal terkorban.

Kemalangan berlaku ketika pesawat dalam penerbangan dari bandar Kunming ke selatan Guangzhou.

Menurut Pengerusi China Eastern Airlines Yunnan, Sun Shiying pihak syarikat telah menghubungi semua keluarga waris mangsa.

Pesawat yang terhempas itu, berusia hampir tujuh tahun, memenuhi ke semua syarat kelayakan penerbangan, katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Selasa.

Presiden China, Xi Jinping telah mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan sejurus nahas berlaku tatkala pasukan menyelamat termasuk pasukan dron turun ke lokasi tragedi di kawasan luar bandar wilayah Guangxi.

Pentadbiran Penerbangan Awam China berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh selama dua minggu melibatkan industri penerbangan negara itu.


(Pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi pencarian di lokasi pesawat terjatuh
di daerah Tengxian, China pada 21 Mac 2022/AFP)

 

-BUNYI SEPERTI GURUH-

Pada Selasa kesan hangus akibat kebakaran dapat dilihat di lokasi nahas, menurut seorang anggota penyelamat kepada AFP dan ada juga yang membuat spekulasi bahawa ke semua penumpang maut terbakar.

Ou, seorang penduduk kampung yang tinggal berhampiran lokasi bencana berkata, dia terdengar “bunyi seperti guruh diikuti api marak di lereng bukit.”

Dompet koyak dan kanta kamera terbakar antara bukti bergambar yang berjaya dirakam di lokasi nahas oleh seorang wartawan tempatan yang berjaya masuk ke lokasi kemalangan.

Bagaimanapun wartawan AFP,  telah dihalang masuk ke lokasi nahas oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka dari Parti Komunis China dan mendapat “arahan daripada peringkat atas” menghalang akses ke lokasi kemalangan.

-“KEKAL DALAM INGATAN”-

Menurut pihak berkuasa penerbangan China, pesawat penerbangan MU5735 yang berlepas dari bandar Kunming selepas 1.00 tengah hari terputus hubungan ketika berada di ruang udara, Wuzhou bandar di wilayah Guangxi.

Kementerian Luar China percaya ke semua penumpang dan anak kapal adalah warganegara China.

Di Lapangan Terbang Guangzhou, kakitangan penerbangan terus membantu waris dan saudara  123 penumpang dan sembilan kru pesawat yang berhenti menghantar isyarat penerbangan selepas jatuh 26,000 kaki dari ketinggian asal hanya dalam masa kira-kira tiga minit.

Seorang pengguna media sosial China, Weibo menulis dalam statusnya, “Saya akan terus merindui awak selama-lamanya," menjelaskan "semangat" rakanya memulakan kerjaya baharunya tahun ini. -AFP

Media Baharu