ATHENS, 2 Februari- Sekolah di pulau pelancongan Santorini akan ditutup pada Isnin susulan gegaran kecil yang berterusan melanda kawasan itu, menurut pihak berkuasa perlindungan awam Greece.
Keputusan itu diumumkan selepas Menteri Perlindungan Awam, Vasilis Kikilias, bersama pegawai kerajaan lain mengarahkan langkah berjaga-jaga susulan beberapa siri gempa bumi yang dikesan di perairan sekitar Santorini dan pulau-pulau berdekatan, lokasi salah satu letusan gunung berapi terbesar dalam sejarah.
Setakat ini, gegaran terkuat yang direkodkan berukuran 4.6 magnitud, dengan dua gempa bumi berukuran 4.1 dan 4.5 melanda pada Ahad, menurut Jabatan Geofizik Universiti Athens.
Sebelum itu, sebanyak 11 gegaran lain berlaku dalam tempoh beberapa jam.
Menurut Agensi Berita Athens, pihak berkuasa menjelaskan aktiviti seismik itu berpunca daripada pergerakan tektonik dan bukan disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan perhimpunan besar di kawasan tertutup serta menjauhi kawasan binaan tertentu bagi mengurangkan risiko keselamatan.
Santorini, antara destinasi pelancongan paling popular di Greece, mempunyai populasi sekitar 15,500 orang tetapi menerima 3.4 juta pelancong pada 2023, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai isu pelancongan berlebihan (overtourism).-AFP