KHARTOUM, 2 Februari- Sekurang-kurangnya 54 orang terbunuh manakala 158 lagi cedera dalam serangan yang didakwa dilakukan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di sebuah pasar di Omdurman, Sudan, pada Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, RSF menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh tentera Sudan sebagai pihak yang melancarkan serangan ke atas orang awam.
Sejak konflik tercetus pada April 2023 berikutan perebutan kuasa antara kedua-dua pihak, kawasan berpenduduk padat sering menjadi sasaran serangan.
Peperangan berterusan itu telah meragut puluhan ribu nyawa, menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal serta mencetuskan krisis kebuluran yang membelenggu separuh daripada populasi negara tersebut.-REUTERS