fb fb fb fb fb

Banjir Queensland: Seorang maut, penduduk diminta waspada kehadiran buaya

FOTO FAIL REUTERS

QUEENSLAND, 2 Februari- Bencana banjir yang melanda Queensland Australia merekodkan kematian pertama. Mangsa merupakan seorang wanita.

Menurut polis, wanita tersebut maut selepas bot yang dinaikinya terbalik di Ingham, kira-kira 230 kilometer dari Cairns.

Pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk di timur laut negara itu untuk berpindah susulan paras air sungai yang hampir mencecah rekod tertinggi, selain memberi amaran mengenai kehadiran buaya di kawasan banjir.

Beberapa bahagian di negeri Queensland dilaporkan menerima lebih 600 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam, menyebabkan penduduk di kawasan berisiko tinggi di Townsville diarahkan berpindah sebelum tengah hari Ahad.

Paras air yang terus meningkat turut memaksa penutupan lapangan terbang tempatan dan menyebabkan penangguhan pembedahan elektif di Hospital Universiti Townsville.

Perdana Menteri negeri, David Crisafulli, memberi amaran bahawa hujan diramal akan terus berlaku dalam beberapa hari lagi, berpotensi mencatatkan jumlah hujan tertinggi dalam sejarah.

"Kita tidak mengalami keadaan cuaca seperti ini sejak sekian lama. Ia bukan sahaja mengenai keamatan hujan, tetapi juga tempohnya yang berlarutan," katanya kepada penyiar nasional ABC.

Jabatan Alam Sekitar turut memberi amaran kepada penduduk supaya berhati-hati terhadap buaya yang mungkin berpindah ke kawasan lain untuk mencari perairan yang lebih tenang.

"Buaya boleh muncul di semua sungai di utara dan jauh utara Queensland, walaupun tiada papan amaran," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik media tempatan.

Biro Meteorologi meramalkan hujan lebat akan berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang, dengan sesetengah kawasan dijangka menerima sehingga 450 milimeter hujan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE