fb fb fb fb fb

Iran perkenal peluru berpandu balistik baharu berjarak 1,700 km

FOTO REUTERS

TEHRAN, 2 Februari– Iran pada Ahad memperkenalkan peluru berpandu balistik baharu yang didakwa mampu mencapai jarak 1,700 kilometer dalam satu majlis di Tehran yang turut dihadiri Presiden Masoud Pezeshkian.

Stesen televisyen negara menyiarkan imej peluru berpandu yang dinamakan Etemad atau bermaksud "kepercayaan" dalam bahasa Parsi, dengan laporan menyatakan ia merupakan peluru berpandu balistik terkini yang dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan Iran.

Kemajuan dalam program peluru berpandu balistik Iran terus mencetuskan kebimbangan negara-negara Barat, yang menuduh Tehran sebagai punca ketidakstabilan di Asia Barat.

Peluru berpandu Iran, termasuk model terbaharu itu berkeupayaan mencapai Israel, musuh ketatnya yang menjadi sasaran serangan Tehran sebanyak dua kali tahun lalu susulan konflik di Gaza.

"Membangunkan keupayaan pertahanan dan teknologi angkasa adalah bagi memastikan tiada negara yang berani menyerang wilayah Iran," kata Pezeshkian dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.

Majlis pelancaran itu diadakan sempena Hari Aeroangkasa Kebangsaan Iran, hanya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-46 penubuhan Republik Islam pada 10 Februari 1979.

Sejak pelantikan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang sebelum ini mengamalkan pendekatan "tekanan maksimum" terhadap Iran, Tehran telah beberapa kali mempamerkan kekuatan ketenteraannya melalui latihan berskala besar serta pendedahan pangkalan ketenteraan bawah tanah.

Pada masa yang sama, Iran turut memberi isyarat kesediaan untuk menyambung semula rundingan mengenai program nuklearnya, yang menjadi punca ketegangan dengan negara-negara Barat selama beberapa dekad.

Sebelum Revolusi Islam 1979, Iran banyak bergantung kepada bekalan ketenteraan dari Amerika Syarikat. Namun, selepas Washington memutuskan hubungan dan mengenakan sekatan, Tehran terpaksa membangunkan persenjataan sendiri.

Sepanjang Perang Iran-Iraq dari 1980 hingga 1988, Iran berada bawah embargo senjata. Kini, negara itu memiliki gudang senjata buatan sendiri yang besar, termasuk peluru berpandu, sistem pertahanan udara dan dron.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE