fb fb fb fb fb

Samsung Electronics catat pendapatan suku tahunan terburuk 14 tahun

(FOTO AFP)

SEOUL, 27 April- Samsung Electronics merekodkan keuntungan suku tahunan paling buruk dalam tempoh 14 tahun, disebabkan pengurangan perbelanjaan pengguna untuk perlatan elektronik dan lebihan penawaran mikrocip dunia.

Ia sekali gus memberi kesan besar kepada perniagaan asas syarikat, iaitu cip memori.

Syarikat dari Korea Selatan, pengeluar cip memori dan telefon pintar terbesar dunia menerusi kenyataan memberitahu keuntungan operasi merosot 640 bilion won (AS$78.6 juta) – jatuh 95% berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan bersih syarikat pada suku pertama jatuh 86.1% kepada 1.57 trilion won, dan jualan jatuh 18% kepada 63.75 trilion won.

Syarikat itu berkata, “secara keseluruhan perbelanjaan pengguna semakin perlahan disebabkan ketidaktentuan persekitaran makroekonomi dunia”.

Samsung turut menyalahkan permintaan cip memori yang semakin perlahan – biasanya menjana separuh daripada keuntungan syarikat – dan kejatuhan harga cip.

Bahagian pengeluaran cip Samsung melaporkan kerugian 4.58 trilion won, pertama kali mencatat kerugian sejak 2009 – ketika dunia bangkit daripada krisis kewangan 2008.


(FOTO BERNAMA)

"Penurunan harga secara berterusan dan peningkatan penilaian kerugian... di tengah-tengah sentimen yang semakin lemah dan kesan berterusan penyelarasan inventori oleh pelanggan; disebabkan ketidaktentuan pengaruh luaran yang berpanjangan," kata syarikat itu.

Bagaimanapun, syarikat itu masih yakin bahawa permintaan untuk cip memori “dijangka beransur pulih” pada separuh kedua 2023, "di tengah-tengah unjuran bahawa tahap inventori pelanggan akan menurun."

Firma itu adalah anak syarikat gergasi utama Kumpulan Samsung, terbesar daripada kalangan konglomerat yang diuruskan ahli keluarga, juga menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-4 terbesar di Asia itu.

Kemerosotan keuntungan suku pertama adalah pengurangan margin ketiga berturut-turut untuk Samsung, menyaksikan kejatuhan 70% dalam keuntungan operasi pada suku ke-4 tahunan. -AFP

Media Baharu