PARIS, 12 Februari - Sekumpulan saintis yang memasang alat penjejak mata pada anjing telah menemui cara terbaik untuk menarik perhatian haiwan itu.
Menurut kajian terbaru yang diterbitkan pada Rabu, gabungan isyarat tangan dan pandangan mata adalah kaedah paling berkesan untuk pemilik anjing memberi arahan kepada haiwan peliharaan mereka.
“Pandangan dan isyarat tangan berguna secara berasingan, tetapi apabila digabungkan, ia lebih berkesan,” kata ketua penyelidik, Christoph Voelter dari Universiti Perubatan Veterinar Vienna kepada AFP.
Eksperimen dengan Anjing Pelbagai Baka Dalam kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik Austria, sebanyak 20 ekor anjing daripada pelbagai baka, termasuk Staffordshire terrier, Australian shepherd dan pudel, dipakaikan alat penjejak mata bagi mengenal pasti dengan tepat ke mana mereka melihat dalam pelbagai situasi.
Eksperimen dijalankan di Clever Dog Lab universiti tersebut, setiap anjing berhadapan dengan seorang saintis yang berlutut dengan dua mangkuk di sisinya, hanya satu mengandungi makanan tersembunyi.
Anjing-anjing ini diuji dalam lima senario berbeza, sebanyak enam kali setiap satui iaitu saintis menunjuk ke arah mangkuk sambil merenung anjing, saintis menunjuk dan melihat ke arah mangkuk serentak, saintis hanya melihat ke arah mangkuk, saintis berpura-pura membaling bola ke arah mangkuk tetapi masih memegangnya.
Keputusan menunjukkan anjing lebih cenderung memilih mangkuk yang betul apabila saintis menunjuk dan merenungnya pada masa yang sama.
Sebaliknya, mereka kurang berjaya apabila saintis berpura-pura membaling bola.
Hasil kajian itu mencadangkan bahawa anjing mungkin memahami komunikasi manusia lebih daripada sekadar mengikuti arah isyarat tangan.
Namun, penyelidik masih berhati-hati dalam membuat kesimpulan. “Adakah anjing melihat arahan ini sebagai satu perintah? Atau adakah mereka benar-benar memahami maksud komunikasi tersebut?” kata Voelter.
Bidang pedagogi semula jadi, yang mengkaji bagaimana manusia menggunakan petunjuk komunikasi untuk mengajar kanak-kanak, kini turut digunakan untuk memahami bagaimana anjing belajar dan mengingati maklumat.
Langkah seterusnya bagi penyelidik adalah menentukan sama ada anjing lebih mudah belajar dan menghafal sesuatu apabila mereka diberikan perhatian secara langsung. - AFP