fb fb fb fb fb

WHO hadapi cabaran baharu susulan penarikan AS

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus / Foto Reuters

GENEVA, 12 Februari – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menutup mesyuarat lembaga eksekutifnya, yang berlangsung di tengah-tengah keputusan Amerika Syarikat (AS), penyumbang terbesarnya untuk menarik diri daripada agensi kesihatan global itu.

Perhimpunan selama lapan hari di ibu pejabat WHO di Geneva membincangkan kesan keputusan Presiden AS, Donald Trump, pada 20 Januari lalu untuk memulakan proses penarikan diri yang dijangka mengambil masa setahun.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan penutupnya berkata, organisasi itu kini berdepan cabaran besar dalam usaha menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Kami beroperasi dengan dua matlamat strategik: menggerakkan sumber dan mengetatkan perbelanjaan,” katanya.

Menurut beliau, ketiadaan peranan aktif AS dalam mesyuarat kali ini amat dirasai dan berharap Washington akan mempertimbangkan semula keputusannya.

“Kami kesal dengan pengumuman AS tentang hasrat mereka untuk menarik diri, dan sedih melihat mereka kurang terlibat sepanjang minggu ini. Saya fikir kita semua merasakan ketiadaan mereka,” katanya.

Keputusan AS untuk menarik diri menekankan lagi keperluan pembiayaan lebih stabil bagi WHO, yang selama ini bergantung kepada sumbangan sukarela.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada penderma utama, lembaga eksekutif WHO mencadangkan kenaikan yuran keahlian sebanyak 20 peratus sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menampung sekurang-kurangnya separuh daripada bajet organisasi itu menjelang 2030.

“Ini adalah isyarat sokongan yang sangat kuat dan langkah penting untuk meletakkan WHO pada kedudukan kewangan lebih stabil serta mampan,” kata Tedros.

Menurutnya, WHO juga bersetuju untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuh pemantauan, serta mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu bagi memastikan keberkesanan operasi.

Minggu lalu, lembaga eksekutif WHO turut mengulangi kelulusan resolusi berkaitan keadaan kesihatan di wilayah Palestin, dengan jumlah kos keseluruhan dianggarkan AS$648 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$275 juta diperuntukkan bagi tindak balas kecemasan, manakala AS$265 juta untuk pemulihan awal serta pemulihan semula.

Selain itu, mesyuarat juga membincangkan pelbagai isu kesihatan global termasuk penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, pencemaran udara, ubat-ubatan substandard dan palsu, serta kecemasan kesihatan dan liputan kesihatan sejagat.

Lembaga eksekutif WHO terdiri daripada 34 negara anggota yang mencalonkan wakil teknikal dalam bidang kesihatan.

Keputusan dan resolusi yang dicapai dalam mesyuarat itu akan dibawa ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang dijadualkan berlangsung, Mei nanti.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN