NEW YORK, 14 Mac- Saham di Wall Street ditutup rendah pada Khamis susulan gelombang baharu ancaman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meskipun data inflasi pengeluar kekal mendatar.
Indeks Dow Jones Industrial merosot 1.3 peratus kepada 40,813.57 mata, manakala Indeks S&P 500 susut 1.4 peratus kepada 5,521.52.
Sementara itu, Indeks Komposit Nasdaq yang sarat dengan saham teknologi jatuh hampir dua peratus, ditutup pada 17,303.01 mata.
Kejatuhan S&P 500 turut mencetuskan situasi "correction" apabila indeks jatuh 10 peratus daripada kemuncak tahunannya yang direkodkan bulan lalu.
Ketua Strategi Pelaburan CFRA Research, Sam Stovall, berkata pembetulan pasaran itu berpunca daripada "ancaman tarif, ketidaktentuan mengenai tindak balas balas dendam, dan kebimbangan kemungkinan kemelesetan ekonomi."
"Masalahnya, kita tak tahu berapa lama ia akan berlanjutan," katanya kepada AFP.
Sebelum sesi dagangan bermula, Trump mengancam untuk mengenakan tarif 200 peratus ke atas wain, champagne dan minuman beralkohol lain dari Kesatuan Eropah (EU).
Ancaman itu menyusul selepas EU mengumumkan tindakan balas terhadap tarif baharu AS ke atas keluli dan aluminium termasuk kenaikan cukai mendadak ke atas wiski buatan Amerika.
Trump memberi amaran beliau akan melaksanakan tarif tersebut jika cukai EU ke atas wiski tidak ditarik balik serta-merta.
Dalam perkembangan lain, data kerajaan menunjukkan indeks harga pengeluar kekal mendatar pada Februari, selepas meningkat 0.6 peratus pada Januari.
Penganalisis Spartan Capital Securities, Peter Cardillo, berkata walaupun laporan inflasi terkini positif, pasaran masih berhati-hati kerana kesan penuh tarif Trump belum lagi dirasai.
Pelabur kini menantikan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) minggu depan, bersama kenyataan Pengerusinya, Jerome Powell, mengenai hala tuju ekonomi AS.-AFP