LOS ANGELES, 14 Mac- Seorang penunggang basikal yang memenggal kepala seekor singa laut mati pada Hari Krismas lalu sebelum melarikannya dalam beg plastik kini sedang diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menawarkan ganjaran AS$20,000 bagi maklumat yang membawa kepada sabitan suspek.
NOAA memaklumkan, bangkai singa laut itu pertama kali dilihat dalam keadaan sempurna di Taman Wilayah Doran, kira-kira 100 kilometer di utara San Francisco, pada 25 Disember lalu.
Namun, tidak lama selepas itu, bangkai haiwan marin tersebut ditemui dalam keadaan ngeri selepas dikerat.
"Saksi melihat suspek seorang lelaki berkulit sawo matang, berusia sekitar 30 hingga 40 tahun, berpakaian serba hitam dan menunggang basikal elektrik beroda tebal berwarna hitam," kata kenyataan NOAA.
"Suspek dilihat menggunakan pisau hitam sepanjang 20 sentimeter untuk memancung kepala singa laut tersebut, memasukkannya ke dalam beg plastik jernih dan kemudian beredar."
Menurut undang-undang persekutuan AS, adalah haram untuk mengganggu, memburu, menangkap atau membunuh singa laut serta hidupan marin lain di negara itu.
Singa laut California merupakan salah satu daripada enam spesies yang diketahui dan lazim ditemui di pesisir barat Amerika Utara, termasuk sekitar Fisherman's Wharf dan Jambatan Golden Gate di San Francisco terkenal dengan bunyi ngauman unik mereka.
Dikenali kerana kecerdikan mereka, singa laut ini juga dilatih untuk membuat persembahan di sarkas dan akuarium, malah pernah digunakan oleh Tentera Laut AS dalam operasi ketenteraan tertentu.-AFP