fb fb fb fb fb

Paras laut global naik lebih tinggi daripada jangkaan

FOTO NASA

WASHINGTON, 14 Mac- Paras laut global meningkat lebih tinggi daripada jangkaan pada tahun 2024, tahun paling panas pernah direkodkan, menurut analisis yang dikeluarkan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada Khamis.

Dalam kenyataan di laman sesawangnya, NASA menjelaskan peningkatan itu berpunca daripada pemanasan lautan yang luar biasa, digabungkan dengan lelehan ais dari daratan seperti glasier.

Analisis berkenaan, yang menggunakan imej satelit bagi memantau kenaikan paras air, menunjukkan laut dunia meningkat sebanyak 0.23 inci (0.59 sentimeter) pada tahun lalu melebihi unjuran awal iaitu 0.17 inci (0.43 cm).

"Setiap tahun berbeza, tetapi yang jelas, lautan terus meningkat dan kadar kenaikan semakin pantas," kata penyelidik Makmal Jet Propulsion NASA, Josh Willis.

Kenaikan paras laut adalah antara kesan perubahan iklim akibat manusia. Ia sejajar dengan peningkatan suhu purata permukaan Bumi yang didorong pelepasan gas rumah hijau.

Sepanjang tempoh tiga dekad dari 1993 hingga 2023, paras laut global meningkat sekitar empat inci (10 cm), menurut NASA.

Fenomena itu didorong dua faktor utama iaitu pencairan glasier dan ais kutub yang menambah aliran air tawar ke dalam lautan, serta pengembangan air laut akibat pemanasan, dikenali sebagai thermal expansion.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kenaikan paras laut lebih banyak disumbang oleh pencairan ais. Namun, pada 2024, sumbangan itu berubah apabila dua pertiga kenaikan berpunca daripada 'thermal expansion', menurut NASA.

Tahun 2024 mencatatkan suhu tertinggi sejak rekod mula direkodkan pada 1850.

NASA memberi amaran paras laut dijangka terus meningkat selagi pelepasan gas rumah hijau berterusan, mengancam penduduk di pulau-pulau dan kawasan pesisir pantai di seluruh dunia.-AFP

 

1403 SEA LEVEL NASAFOTO NASA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE