MEXICO CITY, 14 Mac- Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, mencadangkan larangan terhadap pertandingan lembu jantan yang melibatkan kecederaan atau kematian haiwan tersebut.
Beliau memaklumkan, para pemilik perniagaan dan penganjur telah bersetuju untuk beralih kepada acara perlawanan lembu jantan yang bersifat "bebas keganasan”.
"Kita tidak boleh membenarkan kekejaman dijadikan tontonan, apatah lagi membiarkan kesakitan berpanjangan dan kematian haiwan demi hiburan," katanya.
Cadangan larangan itu dijangka dibahaskan dalam badan perundangan bandar berkenaan, selaras dengan pindaan perlembagaan yang diluluskan pada Disember lalu bagi mengharamkan penderaan haiwan.
Mexico City yang terkenal sebagai pusat pertandingan lembu jantan, menempatkan Plaza de Toros, gelanggang lembu jantan terbesar di dunia dengan kapasiti lebih 40,000 orang.
Bagaimanapun, bandar itu juga dianggap sebagai kubu kuat progresif, dengan perbalahan undang-undang selama bertahun-tahun antara penganjur pertandingan dan aktivis hak asasi haiwan yang mendesak pengharaman sukan tersebut.
Setakat ini, hanya beberapa daripada 32 negeri di Mexico yang melarang amalan itu, yang dibawa oleh penjajah Sepanyol berabad-abad lalu.-AFP