JAKARTA, 30 Ogos- Penunjuk perasaan di Indonesia bertindak ganas dengan membakar bangunan parlimen serantau di tiga wilayah semasa demonstrasi antikerajaan berterusan hari ini.
Menurut laporan media tempatan, bangunan parlimen di Nusa Tenggara Barat, bandar Pekalongan di Jawa Tengah dan bandar Cirebon di Jawa Barat dibakar oleh penunjuk perasaan.
Mereka turut merompak peralatan pejabat parlimen di Cirebon manakala polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Pekalongan dan Nusa Tenggara Barat.
Bantahan bermula di Jakarta awal minggu ini berhubung gaji ahli parlimen, dengan bantahan semakin merebak selepas insiden kenderaan polis melanggar dan membunuh penunggang motosikal yang didakwa peserta demonstrasi.
Ketua Polis Negara Listyo Sigit Prabowo berkata, presiden mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang.
Serangan membakar bangunan parlimen berikutan protes pada Jumaat di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lima cedera.
Agensi pengurusan bencana dalam satu kenyataan tidak memberikan butiran mengenai kematian dalam kebakaran itu, tetapi agensi berita negara, Antara memaklumkan mangsa telah terperangkap dalam bangunan yang terbakar.
Menurut Antara, dua orang cedera selepas melompat keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.
Bantahan turut tercetus di ibu pejabat polis di pulau percutian Bali, memaksa polis menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.
Rusuhan di Jakarta turut menyebabkan perkhidmatan kereta api dan bas terganggu. - REUTERS