JAKARTA, 30 Ogos- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memerintahkan Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dan Panglima Tentera Indonesia, Jeneral Agus Subiyanto mengambil langkah tegas dalam menghadapi perusuh di beberapa daerah.
“Arahan Presiden jelas, khusus untuk tindakan-tindakan perusuh, tentera dan polis Indonesia diminta mengambil langkah tegas sesuai dengan undang-undang,” kata Listyo.
Menurut beliau, dalam dua hari terakhir tunjuk perasaan di beberapa wilayah berubah menjadi kerusuhan dengan pembakaran bangunan, fasiliti awam, malah ibu pejabat polis diserang.
“Situasi sebegini tidak lagi boleh dianggap sebagai menyuarakan aspirasi, sebaliknya tindakan jenayah,” tegasnya.
Sehubungan itu, Listyo menegaskan, tentera dan polis akan segera turun mengambil langkah di lapangan untuk mengembalikan ketenteraman awam.
"Kami telah menerima laporan tentang kekacauan awam. Oleh itu, pihak berkuasa akan segera berusaha untuk menstabilkan keadaan," katanya sambil menegaskan langkah penguatkuasaan akan diambil.
“Ini demi kepentingan masyarakat dan mengekalkan kestabilan negara,” tambahnya.
Sementara itu, Panglima Tentera Indonesia, Jeneral Agus Subiyanto mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan seruan yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.
"Mari kita wujudkan rasa aman dan damai. Jika ada masalah, selesaikan melalui musyawarah mengikut undang-undang," gesanya.
Pada Jumaat, protes merebak di beberapa bandar termasuk Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Solo dan Makassar dengan menyasarkan pejabat polis wilayah dan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).
Pergolakan itu dicetuskan oleh kematian pemandu motosikal e-hailing Affan Kurniawan, yang digilis kenderaan taktikal Briged Bergerak Polis (Brimob) pada Khamis lalu di Pejompongan, Jakarta Pusat.
Pertembungan di Pejompongan tercetus selepas penunjuk perasaan berhampiran kompleks parlimen di Senayan, Jakarta, dileraikan oleh polis.