GENEVA, 30 Ogos- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah mengecam rancangan Israel melaksanakan pemindahan besar-besaran penduduk di Kota Gaza menjelang pengambilalihan tentera Zionis di bandar berkenaan.
"Adalah mustahil pemindahan besar-besaran Kota Gaza boleh dilakukan dengan cara yang selamat dan bermaruah dalam keadaan semasa," kata Presidennya Mirjana Spoljaric dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemindahan sedemikian akan mencetuskan pergerakan penduduk secara besar-besaran yang tidak boleh diserap oleh kawasan di Gaza.
"Ini memandangkan kemusnahan infrastruktur awam yang meluas dan kekurangan makanan, air, tempat tinggal dan penjagaan perubatan yang melampau," tegasnya.
Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel pada Jumaat mengisytiharkan Kota Gaza sebagai zon tempur berbahaya dan bersedia untuk menakluki bandar terbesar wilayah Palestin itu selepas hampir dua tahun melancarkan serangan.
Tentera Israel tidak menyeru penduduk untuk berpindah serta-merta tetapi jurucakap bahasa Arab tentera, Avichay Adraee menyatakan bahawa pemindahan penduduk bandar itu "tidak dapat dielakkan".
PBB menganggarkan hampir sejuta orang kini tinggal di gabenor Gaza, termasuk Kota Gaza dan sekitarnya di utara wilayah itu.
"Sebarang perintah pemindahan akan dikenakan ke atas orang awam yang sudah trauma dengan serangan Israel selama berbulan-bulan dan ketakutan mereka terhadap serangan seterusnya.
"Ramai yang tidak dapat mematuhi arahan pemindahan kerana mereka kelaparan, sakit, cedera atau mengalami kecacatan fizikal.
"Ini menjadikan sebarang pemindahan bukan sahaja tidak dapat dilaksanakan tetapi tidak dapat difahami dalam keadaan sekarang," katanya.
Presiden ICRC mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera, kemasukan besar-besaran bantuan manakala kumpulan Hamas membebaskan saki baki tebusan Israel.
"Sebarang peningkatan konflik selanjutnya hanya akan membawa kepada lebih banyak kematian, kemusnahan dan perpindahan," katanya. -AFP