RAMALLAH, 30 Ogos- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam keputusan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menolak pemberian visa kepada delegasi Palestin untuk menyertai Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan depan.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa OIC menggesa kerajaan AS menimbang semula keputusan bersifat diskriminasi itu, yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Ibu Pejabat yang ditandatanganinya, dan supaya memenuhi kewajipan di bawah perjanjian berkenaan serta menghormati peranan PBB sebagai platform inklusif untuk semua negara dan wakil rasmi mereka.
OIC turut menggesa semua pihak dalam komuniti antarabangsa, khususnya PBB, mengambil tindakan segera dengan pihak berkuasa AS yang berkaitan untuk membatalkan keputusan itu. -BERNAMA