WASHINGTON, 7 Februari - Amerika Syarikat (AS) dakwa Russia boleh menyerang Ukraine dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu lagi.
Penasihat keselamatan kebangsaan White House, Jake Sullivan menyatakan, keadaan kini di ambang perang.
Jake Sullivan menyatakan, Russia boleh mengambil tindakan ketenteraan terhadap Ukraine beberapa minggu lagi namun masih boleh memilih jalan diplomatik.
Kenyataan itu dibuat selepas dua pegawai Amerika Syarikat memberitahu, Russia telah menempatkan kira-kira 70% tentera tempurnya di sempadan.
Tindakan itu dipercayai menjadi persediaan bagi melancarkan peperangan besar-besaran ke atas Ukraine.
Sebelum ini, Russia merampas Crimea daripada Ukraine pada tahun 2014.
Ukraine cuba mendapatkan lebih banyak bantuan ketenteraan dan berusaha meredakan kebimbangan terhadap peperangan itu.
Menteri Luar, Dmytro Kuleba, mengatakan negara itu mendapat sokongan antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat menghantar sekumpulan anggota tenteranya ke Eropah Timur sebagai persediaan menghadapi ketegangan yang semakin memuncak di antara Ukarine dan Rusia.
Kumpulan tentera itu dilihat menaiki pesawat sebelum bertolak dari kem Fort Bragg di Carolina Utara.
Seramai 1,700 anggota tentera, keseluruhannya dari Divisyen Udara ke-82, telah dihantar ke Poland, manakala 300 lagi akan bergerak ke Jerman.
Ahad lalu, pesawat yang membawa anggota serta kelengkapan tentera dilihat telah mendarat di lapangan terbang Poland bagi memperkuatkan tentera perikatan NATO.
Amerika Syarikat berkata mereka akan menghantar 3,000 anggota tentera ke Poland dan Romania bagi mengelakkan negara-negara di Eropah Timur terjebak daripada krisis yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine.
Krisis itu berlaku selepas Rusia mengerahkan lebih 100,000 tenteranya ke sempadan Ukraine, sekali gus mengundang persepsi bahawa mereka mahu menawan negara jiran tersebut.
Bagaimanapun, Rusia menafikan perkara tersebut, sebaliknya berkata tindakan ketenteraan hanya akan diambil sekiranya beberapa permintaan mereka tidak dipenuhi, termasuk perjanjian daripada NATO untuk tidak mengiktiraf Kyiv.