CASABLANCA, 7 Februari- Maghribi membuka semula ruang udaranya pada Isnin dalam usaha untuk memberi nafas kepada sektor pelancongan yang teruk dilanda krisis, dua bulan selepas ia membatalkan penerbangan komersial kerana kebimbangan terhadap COVID-19.
Langkah terbaharu kerajaan Afrika Utara itu disambut baik oleh pemain pelancongan yang telah mengalami kerugian selama dua tahun akibat wabak itu, serta rakyat Maghribi yang terkandas di luar negara.
Bagaimanapun, penumpang masih perlu menunjukkan bukti vaksinasi COVID-19 dan ujian PCR negatif dalam tempoh 48 jam sebelum penerbangan, kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Bagi penumpang yang tiba, mereka dikehendaki menjalani ujian pantas selanjutnya dan ada yang akan dipilih secara rawak untuk ujian PCR.
Kes yang didapati positif pula diwajibkan untuk menjalani kuarantin.
Sektor pelancongan Maghribi telah dilanda kerugian kira-kira €8 bilion.
Pihak berkuasa telah berikrar untuk melancarkan kempen promosi pelancongan di Maghribi dan berkata mereka bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk melancarkan semula sektor itu.