(Gambar sekitar kilang keluli Azovstal di bandar Mariupol pada 10 Mei 2022,
kesan serangan tentera Rusia/Fail AFP)
KIEV, 1 Jun– Konflik Rusia Ukraine, masih belum berakhir. Terbaharu pihak Ukraine bakal menerima bekalan senjata atau roket jarak sederhana Amerika Syarikat (AS).
Presiden Joe Biden berkata AS akan menghantar sistem roket lebih maju ke Ukraine bagi membantu tentera sekutunya menentang Rusia, yang semakin menguasai banyak kawasan di timur Ukraine.
Menurut Washington, pelancar roket yang dikenali sebagai Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi atau Himars itu akan membolehkan tentera Ukraine melancarkan serangan dengan lebih tepat terhadap sasaran utama musuh dari jarak lebih jauh dan dapat mengelak serangan mengenai wilayah Rusia.
Tentera Kiev yang dilaporkan kehabisan senjata telah merayu untuk mendapatkan senjata lebih canggih bagi membantu mereka menentang serangan Rusia, khususnya di kawasan timur Donbas.
RUSIA RAMPAS “KEBANYAKAN” BANDAR UTAMA DI TIMUR
Tentera Rusia telah menguasai sebahagian besar bandar di timur Ukraine, Severodonetsk, selepas beberapa minggu pertempuran di hab perindustrian utama Lugansk, satu daripada dua wilayah pentadbiran yang membentuk Donbas.
“Malangnya, hari ini, tentera Rusia telah mengawal sebahagian besar bandar,” kata Gabenor Lugansk, Sergiy Gaiday menerusi rakaman video.
Proses pemindahan penduduk dari kawasan bandar terhalang disebabkan pertempuran tersebut. Pada Isnin, seorang wartawan Perancis yang mengiringi bas membawa penduduk yang dipindahkan itu terbunuh akibat tembakan pihak Rusia.
LOJI KIMIA “DISERANG”
Gaida turut menyatakan tentera Rusia telah menyerang tangki yang mengandungi asid nitrik di loji kimia Severodonetsk, lantas meminta penduduk mencari tempat perlindungan.
“Bagi tentera Rusia, komander, askar, sebarang 'kegilaan' sememangnya boleh diterima,” Kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam ucapan video di Telegram.
KEPADA MACRON: LAWATI KAMI – UKRAINE
Menteri Luar Ukraine meminta Presiden Perancis Emmanuel Macron melawat negara itu sebelum akhir Jun.
“Alangkah baiknya, Macron datang ketika Perancis sebagai Presiden EU dan paling baik dia datang dengan penghantaran lebih banyak senjata ke Ukraine, katanya kepada saluran berita Perancis LCI.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan sejumlah pegawai tinggi Eropah dan AS telah mula melawat Kiev sejak awal April lalu.
Pegawai kanan Perancis pertama yang mengadakan lawatan adalah Menteri Luar Perancis baharu, Catherine Colonna pada Isnin.
(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/AFP)
RUSIA POTONG BEKALAN GAS
Menurut syarikat minyak Denmark, Orsted, firma gas gergasi Rusia -- Gazprom Export akan memotong bekalan ke Denmark bermula Rabu selepas syarikat Denmark itu enggan membayar dalam mata wang rubel.
Gazpron juga dilaporkan telah memotong bekalan gas ke Belanda, Finland, Bulgaria dan Poland atas alasan sama.
“RIBUAN” TERLIBAT JENAYAH PERANG DI DONBAS
Menurut ketua pendakwa raya Kiev, ketika ini Ukraine sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa ribu kes jenayah perang yang disyaki berlaku di wilayah Donbas.
Semasa lawatan di The Hague, pendakwa raya Ukraine Iryna Venediktova berkata kira-kira 15,000 kes berkaitan jenayah perang telah dilaporkan di seluruh negara sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu.
DUA LAGI TENTERA RUSIA DIDAPATI BERSALAH
Dua askar Rusia dihukum penjara lebih 11 tahun di Ukraine selepas didapati bersalah melanggar peraturan perang dengan membedil kawasan awam di wilayah timur laut Kharkiv.
Pendakwaan di seminggu selepas mahkamah Kiev mengenakan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang askar Rusia berusia 21 tahun kerana menembak mati orang awam yang tidak bersenjata ketika mangsa menunggang basikal. -AFP