fb fb fb fb fb

1,400 kes cacar monyet dilaporkan di Afrika, satu di Hungary

AFRIKA, 1 Jun - Tujuh negara di benua Afrika melaporkan 1,400 kes cacar monyet untuk tahun ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Afrika, daripada jumlah berkenaan 1,392 kes disyaki manakala 44 lagi kes disahkan.

Tujuh negara terbabit melibatkan Cameroon, Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Liberia, Nigeria, Republik Congo dan Sierra Leone.

Sehingga tahun 2019, kes cacar monyet di Nigeria dilaporkan terutamanya di selatan negara berkenaan. Namun sejak 2020, virus itu telah merebak ke kawasan tengah, timur dan utara. 

Cacar monyet pertama kali dikesan menjangkiti manusia pada 1970 di rantau Afrika.

Kes terus melonjak pada 2020, dengan lebih 6,300 kes disyaki menyaksikan Republik Demokratik Congo menyumbang 95 peratus daripada jumlah keseluruhan.

7 Mei lalu, kes pertama dilaporkan di Eropah melibatkan individu baru pulang ke England dari Nigeria. Menurut kemas kini terbaharu WHO, kes cacar monyet kini dilaporkan di 23 negara, iaitu 260 kes dan 120 kes disyaki. 

(Hungary sahkan kes pertama cacar monyet)

Sementara itu, Hungary mengesahkan kes pertama cacar monyet. Ketua pegawai perubatan Hungary, Cecilia Muller, berkata kes itu melibatkan lelaki berusia 38 tahun.

Pihak berkuasa perubatan masih menyiasat sama ada individu berkenaan pernah mengembara ke luar negara dalam masa terdekat.

Virus cacar monyet boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, serta manusia kepada manusia.

Pesakit dinasihatkan untuk mengasingkan diri kira-kira dua ke empat minggu, jika dijangkiti penyakit tersebut. - REUTERS

Media Baharu