(Seorang pekerja memeriksa paip di stesen pemampat minyak di saluran paip Yamal-Eropah
berhampiran Nesvizh/FOTO FAIL REUTERS)
WARSAW, 27 April- Firma gergasi penjana tenaga Rusia, Gazprom, memaklumkan Poland dan Bulgaria bahawa bekalan gas akan dihentikan mulai hari ini, susulan krisis meruncing antara Rusia serta Ukraine.
Poland dan Bulgaria akan menjadi antara negara pertama yang berdepan pemotongan bekalan gas oleh pembekal utama Eropah sejak Moscow memulakan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari lalu.
Pemotongan bekalan gas itu turut disusuli sekatan yang dikenakan Warsaw terhadap syarikat dan pengusaha dari Rusia, yang dilihat sebagai pendirian pro-Barat.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, menuntut negara yang disifatkan sebagai 'tidak mesra' untuk bersetuju kepada skim di mana mereka membuka akaun dengan Gazprombank.
Tuntutan berkenaan sekali gus memohon untuk pembayaran import gas menggunakan mata wang euro atau dolar, yang kemudian ditukarkan kepada rouble.
Minggu lalu, Suruhanjaya Eropah berkata syarikat Kesatuan Eropah (EU) berkemungkinan boleh memenuhi tuntutan Rusia untuk menerima bayaran gas dalam mata wang rouble, tanpa melanggar terma sekatan jika pembayaran dibuat dalam euro atau dolar yang akan ditukarkan kepada mata wang Rusia.
Poland adalah seteru kuat politik Moscow. Syarikat gas Poland, PGNiG, yang perjanjian bekalan gasnya bakal tamat penghujung tahun ini,
Syarikat berkenaan dilaporkan berkata pihaknya tidak akan akur dengan skim pembayaran sedemikian dan melanjutkan kontrak sedia ada.
Syarikat itu juga tidak melanjutkan perjanjian transit gas bersama Gazprom pada 2020.
(Injap dan saluran paip di stesen pengedaran gas Gaz-System di Gustorzyn, tengah Poland/FOTO FAIL REUTERS)
Sejak itu, pembekal gas Rusia terbabit terpaksa menyertai lelongan kapasiti paip bekalan menerusi Yamal-Eropah dari Belarus ke Poland.
Kontrak pembekalan gas Poland bersama Gazprom membabitkan 10.2 bilion meter padu (bcm) setiap tahun dan meliputi sekitar 50 peratus penggunaan negara.
Terdahulu, data daripada rangkaian operator transmisi gas EU menunjukkan aliran gas menerusi laluan paip Yamal-Eropah sudah dihentikan, sebelum disambung semula semalam.
Menteri Iklim Poland berkata bekalan tenaga ketika ini terjamin, sekali gus menyaksikan tiada keperluan untuk menggunakan rizab gas manakala bekalan gas kepada pengguna tidak akan dipotong.
Gazprom turut memaklumkan, syarikat gas Bulgaria, Bulgargaz, bahawa bekalan gas akan dihentikan hari ini, kata menteri tenaga.
Bulgaria juga mempunyai kontrak yang bakal tamat pada penghujung tahun ini, di mana negara itu bergantung kepada 90 peratus gas yang diimport menerusi Gazprom iaitu sekitar 3 bcm setiap tahun.
Penganalisis data dari firma ICIS, Tom Marzec-Manser, berkata: "Ini adalah amaran 'awal' oleh Russia".
"Poland mempunyai pendirian anti Russia dan Gazprom sejak beberapa tahun lalu, tetapi bukan kepada Bulgaria. Justeru apabila Bulgaria juga berdepan nasib sama, ia suatu perkembangan baru," katanya.
Penganalisis bank pelaburan, Jefferies berkata amaran pemotongan bekalan meningkatkan risiko penamatan kontrak lain Eropah secara lebih awal.
Ia pada asalnya dijangka pada penghujung tahun ini, membabitkan hampir 12 bcm setiap tahun.
Hanya segelintir pembeli gas Rusia, seperti Hungary dan Uniper, pengimport utama Jerman bagi gas Rusia, berkata ada kemungkinan untuk meneruskan bekalan mengikut skim pembayaran seperti diumumkan Moscow tanpa melanggar sekatan EU. - REUTERS