fb fb fb fb fb

Rusia tingkatkan hukuman terhadap pengkhianat

(FOTO REUTERS)

MOSCOW, 18 April- Parlimen Rusia meluluskan rang undang-undang pindaan untuk mengenakan hukuman lebih keras bagi jenayah pengkhianatan, termasuk penjara seumur hidup.

Keputusan itu dibuat sehari selepas pengkritik Kremlin dan ahli politik pembangkang Vladimir Kara-Murza dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan khianat dan kritikan terhadap operasi ketenteraan di Ukraine.

Pindaan itu menyaksikan hukuman maksimum untuk "pengkhianatan tinggi" dinaikkan daripada penjara 20 tahun kepada penjara seumur hidup selain meningkatkan penalti untuk "keganasan" dan sabotaj.

Duma, dewan rendah parlimen, juga memutuskan untuk menghukum individu yang didapati terbabit "membantu pelaksanaan agenda organisasi antarabangsa yang tidak disertai Rusia, atau agensi kerajaan asing".

Pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Menurut kumpulan pemantau OVD-Info, teks artikel itu "sangat luas" dan "memudahkan pelaksanaan keputusan kehakiman serta penyiasatan jenayah perang".

Rang undang-undang tersebut memerlukan kelulusan dewan tinggi parlimen dan tandatangan Presiden Vladimir Putin sebelum menjadi undang-undang. -AFP

(Bendera Ukraine ditutup dengan bijirin dalam ilustrasi gambar ini/ Fail REUTERS)

Media Baharu