fb fb fb fb fb

Britain perkenal kod sukarela atasi skandal meter prabayar

(Meter gas prabayar mengenakan bayaran lebih daripada peranti standard dan
boleh memotong bekalan kepada pelanggan yang tertunggak/AFP)

LONDON, 19 April- Britain merombak peraturan tenaga sedia ada berhubung pemasangan paksa meter prabayar yang menyaksikan pelanggan berhadapan bil lebih tinggi semasa krisis kos sara hidup.

Pengawal selia, Ofgem mengetatkan peraturan mengenai amalan kontroversi itu, selepas laporan awal tahun ini bahawa kontraktor British Gas menghantar pemungut hutang untuk menceroboh rumah dan memasang meter prabayar (PPM).

Mereka mengenakan bayaran lebih tinggi daripada peranti standard dan boleh memotong bekalan kepada pelanggan yang mempunyai bil tertunggak.

Ofgem telah mengenakan larangan sementara pada bulan Januari sebelum memperkenalkan kod sukarela baharu yang ditandatangani semua pembekal tenaga bagi menghentikan pemasangan paksa untuk pelanggan berumur 85 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang teruk.

Kod baharu itu memerlukan firma menjalankan pelbagai semakan dan lawatan kebajikan sebelum mengenakan PPM.

"Jika dan apabila PPM sukarela digunakan, ia mestilah sebagai pilihan terakhir," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ofgem Jonathan Brearley dalam kenyataan Selasa.

"Pelanggan dalam situasi yang terdedah akan diberi penjagaan dan pertimbangan tambahan yang sewajarnya, melebihi peraturan sedia ada oleh pembekal," tambahnya.

Kumpulan pendesak bagaimanapun menegaskan bahawa kod itu tidak mencukupi kerana ia adalah sukarela, dan boleh menyebabkan pelanggan yang terdedah termasuk orang kurang upaya (OKU) menjadi sasaran.

"Apa yang benar-benar membimbangkan ialah apabila anda melihat kod amalan, terdapat kawasan kelabu, terdapat jurang," kata Louise Rubin, ketua polisi dan kempen di badan amal hak orang kurang upaya Scope, kepada BBC. -AFP


(Meter yang dipasang mesti disertakan dengan kredit £30 untuk mengelakkan kehilangan
kuasa atau pemanasan serta-merta/REUTERS)

Media Baharu