fb fb fb fb fb

Rusia teruskan operasi ketenteraan, tembak jatuh lebih 200 dron Ukraine

FOTO REUTERS

MOSCOW, 22 Mei- Rusia meneruskan operasi ketenteraannya pada Rabu dengan menembak jatuh lebih 200 dron Ukraine yang didakwa menceroboh wilayahnya, manakala Ukraine pula mendakwa telah melancarkan serangan ke atas sebuah kilang peranti semikonduktor di wilayah Oryol, Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan tenteranya telah melancarkan serangan ke atas kem latihan Ukraine, lapangan terbang ketenteraan, depot peluru, serta beberapa sasaran lain.

Laporan media tempatan pula menyatakan bahawa pasukan Rusia telah menghampiri sempadan wilayah Dnipropetrovsk.

Sistem pertahanan udara Rusia berjaya memintas lebih 200 dron Ukraine pada hari sama, termasuk lebih 100 unit yang ditembak jatuh di luar zon operasi ketenteraan khas.

Antara pukul 3 hingga 6 petang waktu Moscow, sebanyak 67 dron Ukraine ditembak jatuh di beberapa wilayah termasuk Oryol, Kursk, Bryansk dan Moscow, dengan 15 daripadanya dipintas berhampiran ibu negara.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Turus Umum Angkatan Tentera Ukraine melaporkan puluhan pertempuran sedang berlangsung di barisan hadapan, dengan pertempuran paling sengit dilaporkan berlaku di Pokrovsk.

Pasukan Ukraine juga terus melaksanakan operasi di beberapa kawasan dalam wilayah Kursk dan Belgorod, Rusia.

Bagaimanapun, Ketua Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Dnipropetrovsk menafikan laporan bahawa tentera Rusia telah mencapai sempadan wilayah pentadbiran itu.

Turut disahkan oleh pihak Ukraine ialah serangan oleh unit dron mereka, bersama elemen lain, ke atas kilang semikonduktor di Oryol pada awal pagi Rabu.

Sementara itu, Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan proses merangka perjanjian damai dengan Ukraine sedang berjalan dengan aktif.

Kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine turut mengesahkan bahawa mereka kini dalam peringkat persiapan untuk melaksanakan pelan pertukaran 1,000 tahanan perang yang sebelum ini dipersetujui dalam rundingan di Istanbul, Turkiye.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE