BOGOTA, 22 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang diculik kumpulan gerila Colombia sejak 18 hari lalu akhirnya dibebaskan pada Rabu, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Mangsa, Lyan Hortua, diculik pada 3 Mei di wilayah Valle del Cauca, barat daya negara itu, kawasan yang kini berdepan gelombang keganasan paling buruk sejak perjanjian damai kumpulan pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), pada 2016.
Lyan diambil dari rumahnya pada waktu malam bersama pengasuhnya. Namun pengasuhnya itu kemudiannya dibebaskan beberapa jam selepas itu, kata Kementerian Pertahanan. Ibunya mendedahkan bahawa Lyan menghidap radang paru-paru dan memerlukan ubat segera.
Penculikan tersebut mencetuskan bantahan awam di wilayah berkenaan, yang mendesak supaya hak kanak-kanak dihormati.
Pejabat Ombudsman Hak Asasi Manusia mengesahkan pembebasan Lyan pada Rabu, namun tidak memperincikan syarat atau lokasi pembebasan.
Menurut pendakwa raya, lebih 1,100 kanak-kanak telah diculik kumpulan bersenjata di Colombia antara 2019 dan 2023.
Dari tahun 1996 hingga 2016, jumlah korban culik oleh kumpulan bersenjata mencecah lebih 23,800 orang.-AFP