KATHMANDU, 22 Mei– Empat pendaki dari Britain menjadi antara kumpulan pertama mendaki Gunung Everest dengan bantuan gas Xenon, yang membantu mereka menjimatkan tempoh kepada beberapa minggu, iaitu tempoh yang biasanya diperlukan oleh pendaki untuk menyesuaikan diri dengan altitud tinggi, menurut seorang pegawai dari syarikat penganjur ekspedisi.
Kebiasaannya, pendaki perlu meluangkan masa beberapa bulan di gunung untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan altitud tinggi sebelum cuba mencapai puncak gunung tertinggi dunia.
Menurut Lukas Furtenbach dari Furtenbach Adventures yang berpangkalan di Austria dan mpenganjur ekspedisi tersebut, pendaki dari Britain itu telah menghidu gas Xenon di Jerman sebelum memulakan ekspedisi, dan berjaya mendaki puncak setinggi 8,848 meter (29,032 kaki) dalam masa kurang lima hari selepas berlepas dari London.
Mereka turut tidur dalam khemah khas yang mensimulasikan keadaan altitud tinggi di rumah sebelum ke gunung, dan menggunakan oksigen tambahan seperti pendaki lain semasa pendakian.
Xenon merupakan gas tidak berwarna dan tidak berbau yang wujud dalam jumlah kecil di atmosfera bumi, dan diketahui mempunyai sifat anestetik serta banyak digunakan dalam bidang perubatan.
“Xenon membantu mempercepatkan proses aklimatisasi dan melindungi tubuh daripada penyakit altitud serta kesan kekurangan oksigen,” kata Furtenbach kepada Reuters melalui pesanan teks dari kem pangkalan, merujuk kepada keadaan persekitaran hipoksik di pergunungan.
Furtenbach, yang telah menawan Everest sebanyak empat kali, berkata gas Xenon sebelum ini hanya digunakan oleh pemandu gunung, namun “ini merupakan kali pertama ia digunakan oleh pelanggan biasa,” atau pendaki awam.
Menurutnya, penggunaan Xenon menjadikan pendakian lebih selamat dan lebih singkat kerana ia memastikan pendaki kekal teraklimatisasi dengan baik.
“Ekspedisi yang lebih singkat juga bermakna kurang sampah, penggunaan sumber yang lebih sedikit, dan penghasilan sisa manusia yang kurang di persekitaran yang sensitif ini,” katanya.
Sebelum ini,timbunan sampah yang ditinggalkan oleh pendaki telah menjadi isu berterusan di Everest sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun begitu, pendaki dan pemandu dari Amerika Syarikat, Adrian Ballinger dari syarikat Alpenglow Expeditions menyifatkan penggunaan Xenon sebagai satu “gimik ... ia bukanlah pengalaman yang ingin kami tawarkan.”
“Setiap orang patut mendaki gunung ini dengan cara yang mereka banggakan.
Jika pendaki ini berbangga dengan cara ini, maka itu hak mereka,” kata Ballinger.
Nepal telah mengeluarkan 468 permit untuk mendaki Everest bagi musim pendakian Mac hingga Mei tahun ini, dan lebih 200 orang telah berjaya sampai ke puncak setakat ini.-REUTERS.