ROTTERDAM, 22 Mei - Penunjuk perasaan membantah ketibaan kapal membawa komponen jet pejuang F-35 dari Israel yang berlabuh di Pelabuhan Rotterdam, Belanda.
Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di hadapan Dewan Bandaraya Rotterdam, dengan peserta melaungkan slogan “Maersk untung atas genosid”.
Mereka mendakwa pihak berkuasa tempatan membantu kapal milik Maersk itu berlabuh melalui saluran tidak langsung, walaupun mahkamah Belanda sebelum ini mengarahkan eksport komponen F-35 ke Israel dihentikan.
Protes turut menyaksikan jalan raya dan laluan tram di sekitar pusat bandar disekat sementara, termasuk satu perhimpunan duduk di simpang utama menuju ke Jambatan Erasmus.
Aktivis mendakwa penghantaran itu sebahagian daripada rangkaian logistik global yang menyokong industri senjata Israel.
Ketegangan ini berlaku di tengah tekanan awam yang semakin meningkat terhadap hubungan ketenteraan dan perdagangan Belanda-Israel susulan perang berterusan di Gaza.-REUTERS