MOSCOW, 11 Januari – Polis Rusia hari ini menahan pemimpin pembangkang berhaluan kiri dan penentang dasar domestik Kremlin kerana didakwa “mewajarkan keganasan,” kata seorang peguam.
Sergei Udaltsov, 46, menyokong serangan Moscow di Ukraine namun pemimpin pembangkang "berhaluan kiri" itu telah menjadi pengkritik kerajaan yang terkenal dan telah dipenjarakan kerana menganjurkan perhimpunan menentang Presiden Rusia, Vladimir Putin.
"Rumahnya diserbu awal hari ini dan dia sedang disoal siasat oleh kumpulan penyiasat.
"Nampaknya ia adalah untuk beberapa siaran media sosial, saya tidak tahu apa-apa lagi," kata peguam Violetta Volkova kepada media tempatan sambil menambah butiran lanjut dijangka akan dimaklumkan kemudian.
Udaltsov menerusi akaun Telegramnya sebelum ini memaklumkan bahawa polis "mengetuk pintu rumahnya" dan mahu menjalankan pencarian.
Kremlin telah bertindak kejam terhadap pembangkang menjelang pilihan raya tahun ini, di mana Putin sedang berusaha untuk penggal kelima.
Udaltsov pernah dipenjarakan pada 2014 bersama-sama dengan rakan-rakan pemimpin pembangkang, Alexei Navalny.
Dia (Udaltsov) baru-baru ini mengadakan mogok untuk peletakan jawatan gabenor wilayah Moscow, Andrei Vorobyov kerana gangguan pemanasan.-AFP