MOSCOW, 2 September – Rusia bersetuju menambah bekalan gas asli ke China dan menandatangani memorandum pembinaan saluran paip gergasi Power of Siberia 2, namun rundingan mengenai harga bagi salah satu projek gas termahal di dunia itu masih belum dimuktamadkan.
Syarikat tenaga Gazprom memaklumkan kerjasama strategik yang digelar sebagai 'tiada had' antara China – pengguna tenaga terbesar dunia – dan Rusia – pengeluar sumber asli terbesar dunia – semakin kukuh selepas Barat mengenakan sekatan terhadap Rusia susulan perang di Ukraine.
Selepas kehilangan sebahagian besar pasaran gas Eropah, Rusia kini beralih tumpuan kepada China. Gazprom pula telah bertahun-tahun berusaha mendapatkan persetujuan untuk membina saluran paip Power of Siberia 2, yang berupaya menyalurkan 50 bilion meter padu gas setahun ke China melalui Mongolia dari ladang gas Artik Yamal.
Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller, memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk meningkatkan bekalan melalui saluran paip Power of Siberia sedia ada, yang menghubungkan Siberia Timur ke China, kepada 44 bilion meter padu setahun berbanding 38 bilion meter padu ketika ini.- REUTERS