fb fb fb fb fb

20 hilang, 8 maut dalam protes di Indonesia

Tunjuk perasaan di Bandung/ AFP

JAKARTA, 2 September – Sekurang-kurangnya 20 individu dilaporkan hilang susulan protes yang tercetus akibat kemarahan terhadap elaun mewah ahli parlimen Indonesia.

Menurut kumpulan hak asasi manusia pada Selasa, sejak minggu lalu, sekurang-kurangnya lapan individu terkorban dan lebih 700 cedera di Jakarta dalam gelombang protes negara itu.

Keadaan itu turut merebak di beberapa bandar utama Indonesia hingga memaksa Presiden Prabowo Subianto menarik balik keputusan berhubung elaun ahli parlimen.

Suruhanjaya Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS) memaklumkan, sebanyak 23 laporan kehilangan diterima setakat Isnin.

"Selepas proses pencarian dan pengesahan, 20 individu masih belum ditemui," menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menurut KontraS, individu yang dilaporkan hilang itu berada di bandar Bandung dan Depok di Pulau Jawa, serta di beberapa wilayah pentadbiran Jakarta termasuk Jakarta Pusat, Jakarta Timur dan Jakarta Utara. Satu laporan pula melibatkan lokasi yang tidak diketahui.

Menurut agensi berita Antara, polis menyatakan seramai 1,240 individu ditahan di Jakarta sejak 25 Ogos.

Jurucakap Polis Jakarta, Ade Ary Syam Indradi, berkata pihaknya turut menahan aktivis Delpedro Marhaen, Pengarah Yayasan Lokataru, yang disahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan berkenaan.

"Beliau ditahan atas dakwaan membuat provokasi untuk mencetuskan tindakan anarki," menurut Ade dalam kenyataan yang disiarkan stesen Kompas TV.

Polis di Jakarta turut mengenal pasti 38 lagi suspek yang didakwa terlibat dalam aktiviti anarki, termasuk melempar bom molotov ke arah anggota keselamatan dan membakar sebuah hentian bas.

Protes baharu dijangka berlangsung di luar bangunan parlimen pada Selasa, namun jumlah peserta semakin berkurangan sejak tentera dikerahkan ke ibu negara.

Bagaimanapun Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Isnin menggesa siasatan berhubung dakwaan penggunaan kekerasan pihak berkuasa dalam menangani demonstrasi itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI