fb fb fb fb fb

Penduduk Palestin rayu henti serangan, tidak mahu berpindah

Penempatan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal susulan serangan rejim Zionis Israel/ REUTERS

GAZA, 2 September – Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal meluahkan rasa kecewa susulan kesengsaraan hidup selepas berulang kali berpindah kle kawasan selamat ekoran serangan berterusan rejim Zionis Israel di Gaza.

Mahmoud Abu Shari'ah, yang kini tinggal di khemah selepas rumahnya musnah, berkata keluarganya menjadi mangsa serangan yang menyebabkan beberapa ahli keluarga terbunuh dan cucunya cedera parah.

"Terdapat pengeboman di kawasan kami, peluru jatuh secara rawak, dan ada ahli keluarga kami yang syahid. Kami terpaksa tinggalkan rumah. Sekarang cucu saya berada di hospital, ada di Hospital Saqa al-Marid dan ada di Hospital Al-Ahli Arab Baptist. Kami kini hidup tanpa tempat tinggal – sebahagian tinggal di khemah, sebahagian lagi di hospital," katanya.

Mahmoud turut meluahkan rasa kecewa apabila kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya menjadi mangsa serangan dan keganasan.

"Ada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya yang tidak bersalah. Hidup kini tiada sumber pendapatan, tiada makanan, tiada rawatan kesihatan, tiada air – semuanya amat sukar," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Musab Shbat, menceritakan pengalaman pahit apabila terpaksa berpindah berkali-kali akibat serangan.

"Kami menderita akibat pemindahan, sudah lebih 10 hingga 15 kali berpindah semasa perang ini. Setiap kali berpindah, rasa seperti roh ditarik keluar. Ia amat menyakitkan, dari satu tempat yang tidak pasti ke tempat lain, dari satu tragedi ke tragedi lain," katanya.

Musab turut merayu agar serangan ke atas Gaza dapat dihentikan segera untuk membolehkan semua penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kami mahu perang dihentikan… hentikan pertumpahan darah. Jujurnya, keadaan ini membuatkan kami sukar untuk meneruskan kehidupan kerana sering berpindah randah. Pemindahan ini bukan satu bentuk kehidupan," tegasnya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI