JAKARTA, 2 September – Sekurang-kurangnya lapan nyawa terkorban dan lebih 700 cedera dalam protes antikerajaan Indonesia susulan pengumuman perbelanjaan kerajaan, termasuk peningkatan elaun untuk ahli parlimen negara itu.
Pada Ahad (31 Ogos), Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan pemotongan elaun ahli parlimen – satu tindakan atas tuntutan penunjuk perasaan – namun memberi amaran bahawa pasukan keselamatan akan bertindak tegas bagi mengawal ketenteraman.
Kehadiran besar pasukan keselamatan diketuai tentera menyebabkan sebahagian penganjur menangguhkan perhimpunan di Jakarta.
Bagaimanapun, kumpulan mahasiswa tetap berhimpun di Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Makassar – lokasi paling buruk hujung minggu lalu yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa akibat kebakaran dan rusuhan.
Perhimpunan di Makassar, Sulawesi, diadakan berdekatan bangunan parlimen tempatan. Pada Isnin (1 September), rondaan tentera dilihat di jalan utama Jakarta.
Lalu lintas lengang susulan banyak premis perniagaan membenarkan kerja dari rumah manakala sekolah menjalankan sesi pengajaran secara dalam talian.
Ketua Polis Jakarta memaklumkan lebih 1,200 penunjuk perasaan ditahan, manakala Gabenor Pramono Anung menyatakan lebih 700 orang cedera di ibu negara dengan kerosakan infrastruktur dianggarkan bernilai AS$3.4 juta akibat protes minggu lalu.
Menteri Ekonomi Utama, Airlangga Hartarto, mengesahkan lapan individu terkorban dalam rusuhan tersebut pada Isnin.- REUTERS