fb fb fb fb fb

Kim Jong Un lawat Beijing, sasar pulihkan hubungan dan dapatkan sokongan ekonomi

Lee Seong-kweun/ REUTERS

SEOUL, 2 September – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dilaporkan berusaha memulihkan hubungan rapat dengan China dan mendapatkan sokongan ekonomi semasa lawatannya ke Beijing minggu ini.

Menurut Lee Seong-kweun yang merupakan salah seorang ahli Parlimen Korea Selatan kepada media, taklimat tertutup Jawatankuasa Perisikan Parlimen menerusi Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) itu memaklumkan Kim menaiki kereta api menuju ke China.

Menurut Lee, NIS dalam pertemuan itu menjangkakan Kim berkemungkinan berdiri bersama Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa perbarisan tentera pada Rabu (3 September), sekali gus memberi gambaran bahawa ia seakan menghidupkan semula imej pakatan segi tiga era Perang Dingin.

Agensi itu juga menjangkakan akan berlaku sidang kemuncak Korea Utara–China serta pertemuan antara Kim dan Putin.

Lee menambah, objektif Pyongyang adalah untuk memulihkan hubungan dengan Beijing, memperluas ruang diplomasi serta mendapatkan bantuan ekonomi dari China bagi mengekalkan kelangsungan ketenteraannya.

NIS turut melihat lawatan itu sebagai penampilan pertama Kim dalam arena diplomasi pelbagai hala, yang menonjolkan penjajaran Korea Utara–China–Rusia serta memberi isyarat bahawa beliau mungkin mengambil langkah lebih berani di peringkat domestik dan antarabangsa.

Pengarah NIS, Lee Jong-seok, turut hadir dalam sesi taklimat Jawatankuasa Perisikan Parlimen pada Selasa.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI